Kalau filem itu filem Melayu, memang saya tidak akan menontonnya di panggung. Malah dahulu saya pergi ke panggung hanya untuk menonton filem yang mempunyai efek CGI yang bagus. Jadi, filem Jin Notti memang tidak termasuk dalam senarai filem yang saya akan tonton di panggung (malah mungkin tidak akan ditonton langsung seperti filem Cicakman).
Tetapi Papadom adalah satu-satunya filem yang saya tonton dua kali di panggung wayang untuk tahun ini.
Sinopsis Papadom
Papadom memberikan satu cerita yang mudah iaitu kasih sayang seorang bapa kepada anak. Saadom merupakan seorang peniaga Nasi Kandar dalam tahun 1990-an. Beliau mempunyai seorang isteri bernama Munirah.
Selepas Munirah melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Miasara, Saadom bersama dua orang rakannya berusaha membesarkan perniagaan Nasi Kandar. Saadom menjadi begitu sibuk sehingga kekurangan masa bersama isteri dan anak beliau.
Suatu hari Munirah terlibat dalam kemalangan dan meninggal. Sejak dari saat itu Saadom berubah dan berusaha menjaga Miasara sebaik mungkin. Bukan setakat baik sahaja malah lebih dari itu.
Di sinilah terjadi pelbagai ragam dan komedi dalam membesarkan Miasara.
Kelainan Dalam Papadom
Sebelum ini kita asyik dihidangkan dengan kisah ibu tunggal atau kisah berkaitan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Papadom memberikan kita kisah bagaimana pula seorang lelaki ingin menunjukkan kasih sayangnya.
Kiranya Papadom menunjukkan kepada kita bagaimana kasih sayang kepada anak dari sudut pandang seorang lelaki. Ia berasaskan kepada pemikiran bahawa seorang lelaki tidak pandai meluahkan kasih sayang melalui kata-kata, jadi mereka menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan mereka.
Kebebasan Untuk Remaja
Papadom juga memberi persoalan tentang sampai ke tahap mana sepatutnya kebebasan diberikan kepada seseorang remaja itu. Adakah sampai ibu bapa perlu memperhatikan segala tindak tanduk anak mereka atau membiarkan sahaja anak mereka buat apa sahaja.
“Saya tak nak anak saya membuat sebarang kesilapan,” kata Saadom dalam satu babak.
Jadi, satu perkara yang saya dapat daripada filem ini adalah biarlah seorang remaja itu belajar daripada kesilapan. Kalau mereka tidak buat sebarang kesilapan, jadi mereka tidak akan tahu selama-lamanya yang perkara itu silap.
Antara belajar dari buku atau kata-kata nasihat dengan belajar daripada pengalaman, mana yang kita lebih senang faham?
Sindiran Terhadap Filem Tempatan
Saya melihat ada beberapa babak yang menyindir industri perfileman tempatan. Contohnya seorang watak iaitu Rahmat yang suka dirinya dipanggil ‘Wajib Tayang’. Rahmat merupakan seorang pelajar yang suka membuat filem-filem pendek. Dan kefahaman beliau tentang filem adalah sesuatu filem itu mestilah bersifat abstrak.
Watak tersebut memberi gambaran beberapa orang Pengarah yang membuat filem yang orang tidak faham. Semata-mata untuk kepuasan dirinya sendiri.
Satu lagi dialog yang diucapkan oleh Scha, “Bukankah kita buat filem untuk buat duit, prof?”
Ini satu lagi perkara yang membuatkan industri perfileman kita seakan mengisi keinginan orang ramai dengan nilai komersial semata-mata. Buat filem untuk buat duit. Jadi filem Malaysia dipenuhi dengan filem berkaitan cinta, tahyul dan bisnesman yang kaya melampau.
Jadi ada dua persoalan iaitu buat filem yang ada nilai moral tetapi kurang nilai komersial dengan filem yang semata-mata memuatkan nilai komersial sahaja. Mana satu yang baik?
Kesimpulan
Papadom boleh dikatakan filem yang baik untuk tahun ini. Mungkin inilah filem yang bakal diingati oleh penontonnya. Lama kita menunggu filem-filem yang menarik dan diingati zaman berzaman seperti filem-filem P. Ramlee.
P/s: Dan ini kali pertama saya menulis reviu untuk filem Melayu.
* Gambar diambil daripada blog Afdlin Shauki.
Azree Hanifiah
Johor Bahru
31 Oktober 2009











Membuat hati saya meronta-ronta untuk menontonya kelak apabila disiarkan di television atau di pasar-pasar malam
Kau terlupa mengulas tentang mesej perpaduan berbilang bangsa di Malaysia yg ditonjolkan dalam filem ini. Apapun, filem Papadom ini bukanlah semata-mata filem ‘melepaskan batuk di tangga’. Afdlin Shauki berjaya menyerapkan pelbagai mesej berguna kepada masyarakat, satu nilai yang tampak hilang agak lama sesudah perginya Allahyarham P Ramlee.
Memang terlupa.
Terima kasih kerana mengingatkan.
filem ini telah menitiskan air mata saya….saya dah tontonnya…
yup.. saya setuju.. satu kelainan yang cuba ditonjolkan.. bkn sekadar bahan lawak semata tetapi pengisian yang sgt2 mndalam maksudnya.. credit to afdlin shauki..
Ya, cerita humor dalam gembira, humor dalam sedih, humor dalam kebosanan.
Filem yang bagus dan menarik. Tetapi apa yang menyedihkan adalah tingkahlaku remaja pada filem tersebut yang tidak boleh dijadikan ikutan oleh kita apa lagi seorang yang beriman tetapi menunjukkan remaja tidak perlu dikonkong. Sepatutnya sebagai ayah, bukan kasih sayang yang utama sekiranya tidak berpandukan pada apa yang diajarkan Islam. Ajarlah anak dengan Islam dan kahwinkan dia bila tiba masanya. Supaya bapak tak perlulah buat seperti yang di buat oleh Papa Dom.
Nama pun filem..
Sekadar pandangan…
salam.. subhanaAllah..
ana sungguh kagum dgn tafsiran anta dgn filem ini..
jauhnye pemikiran ana smpi dapat merungkap begitu byk persoalan..
semoge ana truskan usaha dlm mnyedarkan bangsa yg tlah byk lalai..
Mungkinkah pengarah spt Allahyarhamah Yasmin Ahmad[walaupun kecoh dikaitkan dgn Islam Liberal],Khalid Mamat dan Afdlin Shauki penerus kegeniusan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dlm menyuntik mesej & persoalan sosial dlm bdg filem?
Itulah harapan kita…dan harapan umat,agar tak sekadar melukut di tepi gantang Hollywood & Bollywood.
salam….
filem nie mmg meruntun jiwa..n memberi input yang baik..
terharu crita nie..