Tugas Kamu Hanya 5 Sahaja?

menembakKisah yang menarik ini telah diceritakan oleh seorang pakcik kepada saya. Ia merupakan sebuah analogi terhadap apa yang kita lakukan hari-hari.

Di sebuah kawasan peranginan, tinggal sepasang suami isteri yang kaya. Rumah mereka besar merangkumi taman dan kebun. Dalam kebun tersebut pula terdapat kolam. Suami isteri tersebut tinggal bersama anak perempuannya yang baru berusia 4 tahun.

Pada suatu hari, orang gajinya berhenti kerja. Terus sahaja si suami mencari pengganti orang gaji pada hari tersebut juga.

Terjumpalah dia dengan seorang lelaki bernama Mustar(bukan nama sebenar)

“Tuan ingin bekerja sebagai orang gaji saya?” soal si suami.

“Ya, tapi kalau boleh saya ingin tahu terlebih dahulu kerja apa yang bakal saya buat nanti?” balas Mustar.

Tugas kamu hanya 5 sahaja

“Kerja kamu tidak banyak. Hanya lima perkara sahaja iaitu:

1)      Jaga rumah

2)      Jaga kebun

3)      Basuh kereta

4)      Bayar bil air, bil elektrik dan bil telefon

5)      Jadi pemandu kereta saya

Sejak hari itu, Mustar bekerja dengan pasangan kaya itu. Semua kerjanya dilakukan dengan cermat dan baik sekali.

Pada suatu hari, pasangan suami isteri itu keluar bersiar-siar. Anak perempuan mereka yang masih tidur ketika itu ditinggalkan di rumah. Ketika itu, Mustar berada di kebun, membersihkan daun-daun kering yang berguguran.

Tidak berapa lama kemudian, anak perempuan lelaki tersebut terjaga dari tidurnya. Melihatkan ketiadaan orang tuanya di rumah, dia pun bermain dan bermain. Dari dalam rumah dia bermain, dia menuju ke halaman rumah pula.

Mustar hanya memerhatikan sahaja gelagat si anak perempuan tersebut.

Dari halaman rumah, si anak perempuan itu menuju pula ke kebun. Dan Mustar hanya memerhatikan sahaja sambil melakukan kerjanya.

Semakin lama semakin dekat si anak perempuan tersebut dengan kolam. Mustar masih lagi memerhatikan dari jauh tanpa memberi sebarang amaran.

“Ah, ini tidak termasuk dalam senarai kerja aku!” getus Mustar dalam hati. Mustar pun beredar dari situ dan pergi ke sudut kebun lain yang perlu dibersihkannya.

Tanpa disedari Mustar, anak perempuan si kaya tersebut terjatuh dalam kolam dan lemas.

Apabila pasangan suami isteri kaya itu pulang ke rumah, mereka terkejut melihat anak mereka hilang. Dicarinya di halaman rumah juga tiada. Si suami pun memanggil Mustar dan bertanya samada Mustar nampak anaknya atau tidak.

“Tadi saya nampak dia bermain di tepi kolam sana,” jawab Mustar.

Si suami bergegas ke kolam tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat anak perempuan sudah kejang kaku di dalam kolam tersebut.

“Kamu nampak anak saya bermain di tepi kolam tadi?”

“Ya, nampak,” ringkas jawab Mustar.

“Kenapa kamu tidak larang anak saya daripada main di tepi kolam?” tanya si suami kepada Mustar dengan nada sedikit marah.

“Tuan, kerja saya hanya ada 5 sahaja iaitu:

1)      Jaga rumah

2)      Jaga kebun

3)      Basuh kereta

4)      Bayar bil air, bil elektrik dan bil telefon

5)      Jadi pemandu kereta saya

Tidak pula tuan menyuruh saya menjaga anak tuan,” jawab Mustar.

Kesimpulan

Agak-agak saudara pembaca semua, bolehkah jawapan yang diberikan Mustar memuaskan hati orang kaya tersebut?

Kisah ini hanyalah analogi terhadap apa yang kita lakukan setiap detik, setiap saat, dan setiap hari. Rata-rata kita hanya melaksanakan 5 perkara yang disuruh Allah:

1)      Mengucap dua kalimah syahadah

2)      Menunaikan solat lima waktu

3)      Membayar zakat

4)      Berpuasa di bulan Ramadhan

5)      Menunaikan haji

Sedangkan ada lagi perkara lain yang sangat perlu dibuat – dakwah. Apa yang akan kita jawab nanti sekiranya Tuan kita bertanya, “Kenapa kamu tidak selamatkan si Hindu, si Buddha, si Kristian.”

Sanggupkah saudara menjawab, “Tugas saya hanya 5 sahaja Tuan.”

*Sumber daripada khutbah Jumaat di Hotel de Palma Ampang pada 16 Oktober 2009

* 40 minit punya khutbah, cerita ini sahaja saya ingat. Hehe. Teruk… teruk…

Azree Hanifiah
17 Oktober 2009
Johor Bahru

The Author

Beliau merupakan seorang trainer dalam bidang perniagaan internet. Kerap dijemput memberi training di institusi dan organisasi seluruh Malaysia. Harapan beliau hanya satu, 'Berkongsi sehabis mungkin!'Other posts by Azree Hanifiah


10 Responses

  1. cerita yang best. Analogi yang bagus.


  2. salam,

    maknanya, banyak lagi yang tidak dicatat?


  3. sarachan

    Menarik.

    Banyak lg tanggungjawab kte rupanya


  4. salam..
    Analogi yang cukup sinis dan bermakna..


  5. Wah, cerita yang betul-betul menyedarkan orang-orang Islam. Semoga ada yang terasa dengan penulisan saudara ni. Hehe :D


  6. munirmuji

    salam dude,terima kasih kerana memanggil kembali analogi ini dari sembunyi yang entah kat mane dalam kepala otak aku.

    satu peringatan yang sangat2 berkesan.satu tamparan halus yang seharusnya membeliakan mata yang kuyu.

    jzkk
    munirmuji


  7. Cerita yang amat menarik sebagai peringatan pada kita yang kadangkala terlalai


  8. za

    hehe..analogi ok dah..tinggal lagi nak amalkan jea..


  9. muslimah

    pendekatan reverse psychology yang bagus… pembaca islam khususnya dapat berfikir kembali.. hitung berapa banyak usaha kita sebagai muslim untuk menegakkan ad-din kita. Memang akan ada orang kata, cakap senang la.. Tapi tugas dakwah adalah tanggungjawab yang harus dipikul oleh semua muslim. Mulakan dengan langkah yang mudah dan berhemah agar yang dikejar dapat, yang dikendong pun tak berciciran. sama-samalah kita meramaikan umat manusia yang bernama Islam..