Tiada Perancangan Datang Tanpa Angan-Angan

“Macam mana nak dapat 9A kalau malas macam ini?” Soal seorang kawan saya, Ammar, dengan nada suara sedikit tinggi.

“Ala, aku dah belajarlah tadi,” balas saya ringkas

“Belajar apa sekejap sangat.”

Ammar memang terkenal dengan kerajinannya dalam mengulang kaji pelajaran. Kalau orang lain hanya boleh bertahan ulang kaji sejam sahaja pada waktu malam, Ammar boleh bertahan sampai empat jam. Habis waktu prep disambungnya lagi belajar.

“Ammar, aku dah confirm masuk KISAS. Sebab itu aku boleh belajar kejap-kejap,” kata saya dengan niat bergurau dan juga sedikit bengang dengan asakan Ammar.

“Jangan main-mainlah, Azree. Aku betul-betul nasihat kau ni.”

“Gurau apa pula. Aku pun betul-betullah ni,” usik saya sambil tersengih.

“Kau nak masuk KISAS apa study sekejap sangat,” bentaknya lagi.

“Kementerian dah letak pun nama aku dalam senarai pelajar yang akan masuk KISAS.” Kebosanan saya pada malam itu terubat sedikit. Seronok mengacau orang yang semangat belajar.

“Ah, lantak kaulah!” Katanya sambil berlalu daripada meja belajar saya.

Saya dengan Ammar sudah sekelas sejak tingkatan satu sehingga tingkatan tiga. Dia pun sudah sebati dengan perangai saya dan saya juga sudah masak dengan panas barannya. Ada bahagian-bahagian gurau yang tidak boleh disentuh, saya elakkan.

Sejak malam itu, setiap kali dia sentuh soal belajar saya, saya gunakan alasan yang sama walaupun KISAS pun saya tidak pernah pergi. Hanya dengar-dengar daripada kawan sahaja dan abang saya juga kata KISAS merupakan top sekolah dalam senarai SBP. Setanding dengan SDAR katanya ketika itu.

Malah saya juga faham kenapa Ammar marah-marah suruh saya belajar. Kedudukan saya dalam tingkatan ketika itu adalah antara yang tercorot sekali. Masuk kategori top 20 dari belakang. Ammar pula boleh katakan top 10 dalam sekolah.

Semasa dalam tingkatan tiga itu saya mengalami kecederaan serius semasa bermain bola dalam satu pertandingan yang menyebabkan kepala lutut saya retak. Disebabkan itu saya tidak datang ke sekolah untuk tempoh sebulan. Dalam tempoh itulah saya beberapa topik dalam Matematik yang saya ketinggalan. Antaranya adalah Algebra.

Tetapi kemalangan telah memberikan saya banyak masa untuk belajar. Pun begitu mana boleh saya tandingi kerajinan Ammar. Saya belajar dua jam(untuk waktu malam) pun sudah keletihan, dia boleh bertahan sampai empat jam.

Apa yang kita bayangkan, itu yang kita cuba kejar

Rakan sebilik saya ketika itu adalah Saifuddin. Emak dia juga guru mengajar di Kolej Tunku Kurshiah. Hampir setiap hari emak dia akan datang bawa makanan, kadang-kadang dua hari sekali atau tiga hari sekali. Maka hampir setiap hari jugalah kami berpuasa sunat bersahurkan lauk-pauk yang dibawa emaknya.

Selesai sahur saya menyambung ulang kaji. Terkesan juga dengan kata-kata sendiri ingin masuk KISAS sedangkan belajar pun nak tak nak saja.

Rupa-rupanya apa yang kita selalu cakapkan atau yang kita bayangkan sebenarnya mempunyai kesan psikologi yang mendalam dalam diri.

Teringat kata-kata mentor saya, Osman Affan, dalam satu kursus motivasi beliau, “Jika ingin berjaya kita mesti bayangkan dengan jelas dalam minda apa yang kita inginkan. Dan sepatutnya kita perlu bayangkan untuk satu jangka waktu yang panjang. Maksudnya kita senaraikan apa yang kita hendak capai akan datang, dalam lima tahun atau dalam sepuluh tahun.”

Kalau hendak dapat 10A dalam SPM, kita patut angan-angan kenapa kita hendakkan 10A tersebut. Kalau hendak dapat 9A dalam PMR, bayangkan kenapa kita perlu dapat 9A tersebut.

Ketika keputusan PMR diumumkan, hampir satu tingkatan terkejut dengan keputusan PMR saya iaitu 9A. Sampai ada yang mengusik, “Macam manalah si Azree boleh dapat 9A, aku tak dapat.”

Beberapa bulan kemudian saya menerima surat tawaran ke KISAS.

Tiada angan-angan, hilang arah tuju

Kalau semasa PMR saya ada bayangan ke mana saya akan pergi selepas itu tetapi perkara sebaliknya berlaku pada waktu saya mengambil SPM. Saya langsung hilang arah tuju. Tak tahu apa yang saya betul-betul minat.

Sehinggakan ketika saya tingkatan empat, keputusan Matematik Tambahan saya sangat teruk. Sekali sahaja saya berjaya lulus. Itu pun lulus cukup-cukup sahaja.

Sampaikan cikgu Matematik Tambahan saya bertanya, “Azree, kenapa kamu asyik tidak siapkan kerja rumah?”

Saya menundukkan kepala dan berkata dalam nada berat, “Saya tak minat Add Math, cikgu.”

Sedangkan sejak dari sekolah rendah sehingga ke PMR, subjek berkaitan Matematik yang paling selalu saya skor A. Satu sahaja kelemahan saya ketika itu dan saya menyembunyikannya daripada cikgu iaitu saya tidak faham langsung tentang konsep Algebra.

Pada waktu itu juga saya sibuk kerana saya memegang jawatan sebagai ahli Multimedia Unit yang merupakan salah satu unit khas di sekolah ketika itu. Satu unit yang digunakan sekolah untuk pelbagai jenis pertandingan berkaitan multimedia. Dalam waktu yang sama saya juga wakil sekolah untuk permainan Chess.

Kawan saya Rauf ketika itu berkata, “Dalam tempoh umur macam kita inilah kita sebenarnya berada dalam keadaan genting dalam membuat pilihan. Kadang-kadang kita terlalu hendakkan sesuatu tetapi sebab kenapa kita hendakkan sesuatu itu tidak kukuh. Hampir tiada sebab.”

Semasa berada di tingkatan lima, saya mula meminati bidang sastera. Sehingga ada yang menegur, “Azree, kau ni peliklah. Multimedia kau boleh buat, buku-buku sastera pun kau minat.”

Dan memang saat itu saya sendiri tidak mengenal pasti di mana dan apa minat saya yang sebenarnya.

“Itu namanya orang yang minat banyak perkara,” balas saya,

Saya berbincang dengan Rauf. Dia berkata kepada saya, “Memang perkara biasa kalau kita tak tahu apa minat kita lagi. Sebab itulah ramai yang tukar bidang semasa di universiti dan sebab itulah ada yang memilih kerja selepas dapat degree.

Tidak tahu mana kemampuan diri sendiri dan belajar perkara yang diluar kemampuan diri. Memang ada yang berjaya tetapi apabila masuk dunia bekerja, ramai yang memilih. Sebabnya adalah kerana tidak minat.”

Dalam tempoh tingkatan lima itu satu perkara sahaja yang saya buat. Minatkan kembali perkara yang saya minat iaitu Matematik. Soal ke mana saya selepas habis SPM memang tidak muncul dalam kepala. Ingin ke luar negara atau belajar dalam negara, satu pun tidak terlintas dalam fikiran.

Penting ada cita-cita

Dari situ saya sedar pentingnya kita mempunyai angan-angan. Tanpa angan-angan, mungkin kita akan berjaya dalam satu jangka yang pendek tetapi untuk satu jangka masa yang panjang nanti kita mungkin hilang arah.

Tanpa angan-angan, perancangan jangka panjang tidak dapat dibuat. Iyalah, tiada gambaran kejayaan macam mana yang ingin dicapai bagaimana mahu membuat perancangan untuk ke arah tersebut.

Hidup tanpa angan-angan umpama kapal tanpa layar. Angan-angan tanpa perancangan umpama kapal dengan layar tetapi tanpa nakhoda. Hilang di tengah lautan, hilang arah tuju.

The Author

Beliau merupakan seorang trainer dalam bidang perniagaan internet. Kerap dijemput memberi training di institusi dan organisasi seluruh Malaysia. Harapan beliau hanya satu, 'Berkongsi sehabis mungkin!'Other posts by Azree Hanifiah


6 Responses

  1. assalaamu’alaikum.

    ala, cam nak tukar kos la pulak..


  2. yup…setiap impian tu bermula dengan angan2x….

    antara minat dan ability,mana lebih penting?


  3. Bahaya2 jangan terpengaruh dengan azree nih. Aku pun dah hampir masuk lubang dah. HUHU


  4. Padanler ana slalu tengok nta ni suke berangan, haha….


  5. muaz

    walawey..marwan..pandai nyakat…


  6. Alamak lagi seorang pula. Jangan… jangan… :D