“Kamu semua kalau malas sembahyang, jadilah manusia tidak berguna!” bentak ustaz tersebut.
Saya membetulkan duduk sambil menjeling ke muka peserta-peserta lain. Memang dari tadi ayat-ayat ustaz tersebut boleh sahaja menyakitkan hati anak-anak muda yang lain.
“Siapa di sini tak pandai baca Al-Fatihah lagi? Sudah besar panjang pun malas nak solat, apa nak jadi?”
Dua orang muda menarik muka lalu keluar meninggalkan majlis.
“Haa. Tengok tu, baru kena tegur sikit sudah tarik muka.”
Letih sudah kami mengajak anak-anak muda ini ke surau untuk bersolat jemaah tiba-tiba dimaki hamun pula. Selemah-lemah manusia pun tetap ada perasaan juga dan sejahat-jahat manusia pun tetap ada rasa hormat.
Ketika itu saya dan tiga orang lagi rakan daripada Matrikulasi UIAM diminta mewakili Matrikulasi untuk ke satu program kepimpinan anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Program tersebut berlangsung selama 10 hari dan memang kami sangat tertarik dengan tentatif program tersebut yang kelihatannya sarat dengan pengisisan tentang kepimpinan.
Pada awalnya kami membayangkan universiti-universiti lain turut menghantar wakil masing-masing. Tetapi sebaik sahaja tiba di sana sangkaan kami sedikit meleset. Terperanjat apabila melihatkan peserta-peserta lain yang rata-ratanya adalah pelajar bermasalah.
Dengan perempuan yang pakai baju ketat dan lelaki yang bergaya ala-ala mat rempit.
“Ini bukan program kepimpinan macam ini,” kata seorang rakan saya.
“Tak apa, kita buat mereka semua ini sebagai kawan kita dan jadikan ini latihan kepimpinan kepada diri sendiri.”
Kuasa sebagai motivasi memimpin
Itulah saat kami belajar bergaul dan belajar berkomunikasi supaya tiada jurang kelihatan antara kami dan peserta-peserta lain. Tetapi saat itulah juga saya mengenali perangai-perangai yang menggunakan kuasa dalam memimpin.
Kuasa menjadi motivasinya untuk memimpin. Mungkin apabila hilang kuasa, maka hilanglah orang di sekelilingnya.
Memang saya tidak nafikan agak susah mengarah peserta-peserta itu. Tetapi janganlah apabila mereka sudah duduk bersedia mendengar ceramah, ditukar menjadi bebelan panjang pula.
Dan begitulah juga sakitnya rasa apabila penat kami mengajak peserta-peserta ini ke surau, tiba-tiba mereka dihidangi bebelan merendah-rendahkan mereka pula.
“Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat.” (Hadis riwayat Bukhari)
“Nak saja aku suruh ustaz itu yang pergi arah budak-budak ini ke surau tadi,” kata Nabil.
“Sabar sahajalah. Sekarang yang berkuasa adalah ustaz itu, kita cuma peserta sahaja. Nanti malam kita bincang dengan dia.”
“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Malam itu sebaik tamat aktiviti, saya dan Nabil berjumpa dengan dua orang fasilitator dan juga ustaz tersebut. Bincang tentang beberapa hal yang kami rasakan kurang berpuas hati. Soal jawab berlaku.
Perbincangan kami pada malam itu kami rasakan sedikit suram dengan pandangan kami seakan diperlekehkan. Dan mungkin kerana kami kelihatan muda, salah seorang fasilitator yang berada di situ cuba membelit-belitkan kenyataan.
Setiap manusia suka menilai dirinya lebih baik
Pulang ke bilik, saya dikerumuni beberapa peserta lain yang menyedari akan perjumpaan saya dengan fasilitator-fasilitator tersebut.
Terdengar rungutan daripada mereka, “Dia orang ingat kami ini siapa, boleh dimaki hamun macam itu.”
Terus saya menyedari akan setiap manusia itu ada sisi kelembutan (soft port) masing-masing. Sekiranya kita pandai mencari sisi kelembutan itu, maka senanglah kita mengajak mereka ke arah kebaikan.
Dan jangan lupa juga setiap manusia itu ada sifat over rate diri sendiri atau dengan kata lainnya menilai diri sendiri sebagai yang terbaik. Boleh juga dikatakan sebagai ego. Mereka ada perasaan ingin dihormati.
Jadi, untuk membuatkan mereka hormat kepada kita, maka kita perlu hormat kepada mereka terlebih dahulu.
Apabila fasilitator-fasilitator ini asyik menggunakan ‘kuasa’ dalam kata-kata atau perbuatan, pada masa yang sama sebenarnya fasilitator ini menidakkan ‘kuasa’ yang ada pada peserta-peserta itu.
Apa kuasa yang ada pada peserta-peserta tersebut?
Kuasa tersebut adalah ego mereka. Kalau kita tidak mengiktiraf ‘kuasa’ mereka, mereka pun lebihlah malas hendak mengiktiraf ‘kuasa’ kita. Dan kerana itu daya pengaruh kita akan hilang.
Berdakwah dengan pengaruh
Berdakwah perlu dengan pengaruh bukan dengan kuasa semata-mata. Begitu juga untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam, kuasa sahaja tidak cukup dalam negara berbilang kaum ini. Perlu juga dengan bijak mempengaruhi.
Apabila kuasa menjadi motivasi untuk memimpin orang, maka jadilah perebutan kuasa. Juga apabila kuasa menjadi motivasi, maka akan ada rasa keterikatan terhadap kuasa tersebut.
Tunggu sahajalah keputusan Isnin ini. Harap tiada lagi orang gila kuasa sampai mengheret-heret orang lain.











“Tunggu sahajalah keputusan Isnin ini. Harap tiada lagi orang gila kuasa sampai mengheret-heret orang lain.”
yang ni part yang best sekali =)
wah..artikel yang menarik.. =)
YB Nizar udah menang
hmm..
meminjam kuasa yang ada pada diri sendiri, baik untuk mempengaruhi orang lain berbuat seperti mana yang kita nak, memang boleh mempercepatkan kita mendapat result yang dikehendaki – tapi cuma pada masa itu saja.
ia tidak akan sekali-kali lastlong.
sama juga dalam hal memimpin rumah tangga, dan membesarkan anak-anak.
sama juga dalam hal memimpin pasukan. juga memimpin negara (termasuk juga parlimen, hehe..)
lebih baik kita menguasakan orang lain untuk mengikut kita, dari menggunakan kuasa yang kita ada untuk memaksa mereka mengikut kita.
sekadar pandangan
semoge yg bek kite ambik
ramai yg xsuke ayat dakwah
ntah la
biasanya memang begitu…pantang ditegur.sudah lama benar tak jumpe ye!
salam.
terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ini.
saya suka sekali membacanya.
moga ada yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan ini.
iyelah, kadang-kala kita terlalu gopoh mencapai matlamat sehingga lupa pada cara yg lebih berhikmah..
setiap perkara ada baik dan buruknya..
namun untuk mengubah manusia, kira perlu mengubah paradigma kita terlebih dahulu..
hati manusia siapa yang tahu..
manusia hanya penyeru, bukan penghukum…
Wallahualam. hanya perkongsian apa yang terlintas di fikiran.
komen tambahan, gaya penulisan saudara persis ustaz hasrizal @ saifulislam.com
saya suka sekali.
=)
Hoho. Part yang macam ini pula suka.
Perjalanan masih panjang.