Prinsip Tukul - Tang… tang… tang…

hammer

Seorang ahli psikologi, Abraham Maslow, ada berkata, “Jika peralatan yang ada pada kamu hanyalah sebatang tukul, kamu dengan mudah akan melihat setiap masalah sebagai paku.”

Apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dikehendakinya, kebanyakannya lebih suka mempertahankan apa yang dirasakan dirinya sebagai betul.

Jadi, dengan sedaya upaya dia akan cuba menyatakan pihak yang bertentangan pendapat dengannya sebagai salah dan dia adalah betul. Inilah yang dinamakan sebagai teknik ‘tukul’.

Apa sahaja benda mahu diketuknya. Kalau ada orang lain buat salah, terus sahaja mahu digunakan ‘tukul’ tersebut.

Tang… tang… tang….

Cari kesalahan orang lain

Masih saya ingat dalam satu pertandingan akhir debat yang pernah saya hadiri, seorang pendebat daripada pihak pembangkang sedang menyampaikan hujahnya.

“Tugas sektor swasta adalah ‘membantu’ meningkatkan….” Terus sahaja seorang pendebat daripada pihak kerajaan mengangkat tangan mahu menanyakan soalan.

Kebenaran diberikan dan dia terus menanyakan soalan dengan nada sedikit menyindir, “Apabila dikatakan sebagai ‘membantu’…. itu ini…. bla… bla…”

Dan kemudian berlakulah perdebatan terhadap maksud ‘membantu’ itu selama beberapa lama. Saya sudah lupa tajuk debatnya, cuma yang saya pasti bukannya tajuk itu yang didebatkan tetapi apa yang didebatkan adalah setiap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lawan.

Jika yang sebelah sana mengatakan itu dan ini, terus saja yang di sebelah satu lagi mengetuk kuat-kuat dengan suara yang lantang cuba mengatakan fakta itu dan ini salah. Dan begitulah sebaliknya.

Ramai mengatakan yang pertandingan debat dapat mendidik pelajar supaya berfikiran lebih kritis dan supaya mampu mempertahankan pendirian sendiri. Ramai menggunakan kata-kata Socrates sebagai hujah yang debat mampu membentuk jati diri yang unggul.

Tetapi apa yang dapat dilihat, tiada satu buku relationship pun yang memberi tip supaya berdebat dalam berurusan atau mengeratkan hubungan.

Pertandingan debat satu keperluan?

Dahulu saya juga pernah menjadi pendebat sekolah, malah semasa sekolah menengah pula sering diajak menjadi pemerhati atau tukang komen semasa latihan debat sekolah. Dan saya dididik dalam suasana tersebut memandangkan ibu saya juga merupakan seorang jurulatih debat Kolej Tunku Kurshiah(TKC) satu ketika dahulu.

Tetapi semakin saya banyak membaca, semakin saya memerhatikan tingkah laku dalam setiap debat menjadikan saya semakin hilang minat terhadapnya. Lebih-lebih lagi apabila melihat video-video perbahasan dalam parlimen. Huh, lagi hilang selera.

Saya ada menulis tentang keperluan pertandingan debat satu ketika dahulu di entri ‘Pertandingan Debat, Adakah Satu Keperluan’.

Jurujual jangan gunakan ‘tukul’

Jikalau anda seorang jurujual, elakkan menggunakan ‘tukul’ semasa sedang mempromosikan barang anda.

Pernah satu ketika semasa saya berjalan di dalam sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, saya ditarik oleh seorang promoter kad keahlian ‘X’. Jenuh sudah dia menerangkan faedah-faedah kad tersebut(insurans, diskaun dan sebagainya).

“Kalau adik berdaftar hari ini, adik akan dapat hadiah ini, ini dan ini.”

“Erm. Boleh saya jalan-jalan dahulu, nanti kalau saya berminat saya datang balik.” Kata saya yang memang ada urusan lain ketika itu.

“Sekejap, adik ada ambil insurans mana-mana syarikat tak?”

“Tak ada. Tapi dalam perancangan saya ingin ambil insurans takaful sebab dengar kata lebih baik.”

Sebaik saya kata begitu, terus sahaja dilanyak-lanyak kata-kata saya itu dengan memburukkan insurans takaful begitu dan begini. Ditengking-tengking. Kemudian disambung lagi dengan menyatakan yang kad keahlian ‘X’ tersebut lebih baik dan lebih bagus.

Saya cuba untuk menenangkan keadaan dan kemudian terus meminta diri meninggalkan jurujual tersebut.

Siapa yang suka setiap kata-katanya dilanyak? Atau pendapatnya dihentam terus?

Kalau dalam pertandingan debat mungkin pendebatnya masih tersenyum-senyum apabila hujahnya dihentam atau penonton bertepuk tangan apabila ada hujah yang ditolak mentah-mentah. Tetapi ini dunia realiti.

Andai pendapat anda dikatakan sebagai ‘salah’ atau pendapat yang ‘teruk’, masihkah anda mampu tersenyum?

Dunia realiti membolehkan kedua-dua belah pihak menang bersama. Cuma perlu dibuang pemikiran ‘aku betul dia salah’.

Dai’e = jurujual

Seringkali Nabi Muhammad dikatakan sebagai sesat, ajaran Islam sebagai ajaran yang tidak betul. Malah dicaci pula diri beliau.

Antara kisah yang masih saya ingat adalah kisah beliau dicaci oleh seorang perempuan tua setiap kali beliau lalu di hadapan rumah perempuan tersebut. Hampir setiap hari perempuan tua itu mencaci Nabi Muhammad dan agama Islam.

Tetapi apa yang Nabi Muhammad buat? Beliau tidak sedikit pun terburu-buru marah perempuan tersebut atau mengherdik kembali perempuan tersebut.

Nabi Muhammad tahu yang beliau sedang mempromosikan sebuah produk yang baik iaitu ‘Islam’. Maka produk yang baik mestilah disampaikan dengan strategi yang paling terbaik dan berkesan. Andailah Nabi Muhammad mengherdik kembali perempuan tua tersebut, adakah cara tersebut berkesan?

Malah mungkin perempuan tersebut berkata, “Memang terbukti produk itu bukan satu produk yang baik.”

Nabi Muhammad bersabar dengan kerenah perempuan tersebut. Ketika perempuan tua itu jatuh sakit, Nabi Muhammad datang menziarah malah menjaga makan minum perempuan tersebut sehingga sembuh. Saat itu, perempuan tua tersebut tersentuh hatinya dan akhirnya memeluk agama Islam.

Islam adalah produk yang baik, maka tugas kita sebagai dai’e mempromosikannya dengan strategi dakwah yang terbaik. Fikirkan strategi yang terbaik.

“Kemahiran komunikasi yang terbaik bukan hanya mengeluarkan kata-kata yang tepat pada tempat yang sesuai. Tetapi juga meninggalkan berkata perkara yang salah pada masa yang menarik.” –Lady Dorothy Nevill-

Teknik 3+1

Puan Ainon Mohd dalam satu kuliah keusahawanan memberi latihan tentang teknik 3+1. Teknik ini sudah banyak diguna pakai juga oleh mana-mana pakar motivasi yang lain. Dan memang sangat bagus untuk kita yang sudah terbiasa dengan pemikiran ‘aku betul dia salah’. Tekniknya begini.

Apabila seseorang memberi pendapat yang berlainan dengan kita, cuba cari dahulu tiga perkara yang baik atau faedah daripada pendapat tersebut. Keluarkannya supaya si dia merasa pendapat tersebut dihormati.

Kemudian apabila kita mahu kemukakan pendapat kita pula, cari satu perkaitan antara pendapat kita dengan pendapat dia.

Fikirkan andailah kita yang memberi pendapat tersebut, kemudian pendapat kita dipuji paling kurang pun tiga kali. Selepas dipuji, ditambah pula cadangan lain yang kita rasakan seakan ada kaitan dengan pendapat kita tersebut. Adakah kita akan menerima atau menolak cadangan tambahan tersebut?

Wah, Seronoknya dipuji!

Dan rasanya ini tidak diajar dalam pertandingan debat. Gantikan ‘tukul’ di tangan anda dengan peralatan yang lain.

P/s: Ini hanya pendapat saya, kalau ada sebarang penolakan cuba gunakan teknik 3+1 tersebut. Kita ingin mewujudkan suasana ‘win-win’ dalam StudioMuslim ini.

.

Azree Hanifiah

23 Disember 2008,

UIAM, Gombak.





Hak cipta terpelihara © StudioMuslim.com (2007 – 2008)

Setiap artikel yang tersiar di StudioMuslim.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat StudioMuslim.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.

Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada penulis terlebih dahulu.



Azree Hanifiah @ StudioMuslim.com

Popularity: 38% [?]

5 Comments »

  1. avatar comment-top

    “Sampaikan terikut-ikut gayanya menjawab persoalan semasa ditemubual pihak Al-Jazeera.”

    Halus ayat ini. =) Agreed!

    Berdasarkan pengalaman sendiri, pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) telah diajar konsep sedemikian sewaktu berdebat, tetapi perkara begini yang saya perhatikan, hanya berlaku pada debat bahasa Melayu.

    Itulah keunikan bahasa Melayu. Pelbagai perkataan dengan ‘keindahan’ tersendiri sehingga pelbagai pertikaian boleh dilakukan. Opps, jangan ambil hati. =)

    Bagi debat Bahasa Inggeris pula, setakat pemerhatian saya, tiada perdebatan pada penggunaan perkataan. Tetapi konklusi yang dapat saya lihat pada setiap pertandingan debat peringkat SBP, bukan tajuk yang menjadi isu, tetapi bagaimana para pendebat bertahan dengan mempertahankan pendirian mereka walaupun ia isu bias (may i say, dengan apa cara jua sekalipun? Well..).

    Bagi pengalaman sendiri, debat tidak mempengaruhi tingkah laku saya (what do u think az?). Oleh kerana menyertai debat Bahasa Inggeris, ia banyak membantu meningkatkan keyakinan serta kelancaran bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Ia banyak membantu tahap penguasaan saya di peringkat seterusnya.

    Namun saya tetap iri melihat pendebat bahasa Melayu, pandai bermain bahasa, bijak menutur bicara yang tersirat. Debat Bahasa Inggeris lebih mudah dikatakan sebagai ’straight to the points’. Tiada kata-kata berbunga.

    Bagaimanapun, saya tidak menafikan, debat biasanya membentuk peribadi seseorang seperti yang dinyatakan saudara azree di atas. Selain negatif, juga ade positifnya. Lebih berkeyakinan berbicara di khalayak jua lantang menyampaikan pendapat.

    Cuma, jangan terlebih laser, sudah. =P

    wallahu’alam.

    [Reply]

    comment-bottom
  2. avatar comment-top

    Mempertahankan pendirian diri memang merupakan satu keperluan. Itu satu kelebihan dalam perdebatan kerana pendebat akan diajar berfikir dengan kritis supaya pendirian diri kita tidak dapat digugah oleh pihak lawan. Maka dengan itu akan menjadikan seorang pendebat itu orang yang tidak akan terpengaruh dengan mana-mana anasir luar.

    Cuma apa yang diajar, dan latihan yang diberi kepada pendebat menjadikannya seorang yang memang tidak tahu mengalah. Atau sehinggakan apa jua hujah pihak lawan perlu segera dipatahkan.

    Sedangkan Nabi Muhammad mengajar kita supaya menghormati semua pendapat orang lain selagi tidak bertentangan dengan syara’. Tidak mengira siapa orang itu. Tua ataupun muda.

    Erm. Soalan mengenai adakah debat tersebut mempengaruhi tingkah laku di luar pula. Saya merasakan memang ada, cuma tidak sedar. Kadang-kadang bila pendapat kena bidas dengan orang lain, mahu saja saya bidas balik pendapat orang tersebut. Cincang secukup-cukupnya.

    Dan ini memang ini terjadi kepada saya sehinggalah masuk ke universiti sekali pun. Cuma setahun yang lepas, sejak mengenali buku-buku relationship menjadikan saya lebih aware tentang perkara ini.

    [Reply]

    comment-bottom
  3. avatar comment-top

    Nabi Muhammad tahu yang beliau sedang mempromosikan sebuah produk yang baik iaitu ‘Islam’.

    beliau=baginda…
    sory

    [Reply]

    comment-bottom
  4. avatar comment-top

    rasanya bleh saje pakai ‘beliau’ pun. sudah banyak buku agama pun pkai ‘beliau’.

    [Reply]

    comment-bottom
  5. avatar
    pemburujanji Says:
    May 24th, 2008 at 3:56 pm
    comment-top

    benarlah ayatNya
    “Sungguh telah ada bagi kalian pada diri Rasulullah suri teladan yang baik bagi orang-orang yang berharap kepada Allah, hari akhir dan bagi orang yang banyak mengingat Allah.” (Al Ahzab: 21)

    [Reply]

    comment-bottom

RSS feed for comments on this post. TrackBack URL

Leave a comment