• Menghargai Orang Lain

    euro 2008 Portugal

    “Encik Fadzli, saya ada satu soalan untuk menghangatkan lagi suasana perbincangan kita.” Ketua Pengarah TPPT Berhad tersebut berdiri sambil mengangkat tangannya.

    Seluruh mata dalam dewan seminar tersebut memandang ke arahnya. Saya menjadi pembantu Tuan Fadzli Yusof pada petang tersebut di Selesa Hill Homes, Bukit Tinggi. Perbincangan pada petang itu mengenai team building.

    Peserta yang terdiri daripada staf-staf TPPT Berhad berjumlah seramai 80 orang. Sebuah syarikat yang menguruskan projek-projek perumahan.

    Ketua Pengarah tersebut menyambung, “Mengapa dalam permainan bola sepak seperti yang dianjurkan kami semalam, setiap peserta berusaha bersama-sama dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan. Tetapi apabila pulang ke pejabat sahaja, semangat kerjasama tersebut hilang macam itu sahaja.”

    Saya tersenyum mendengar soalan tersebut sambil menanti cara-cara Fadzli Yusof mengendalikan soalan tersebut. Saya ibarat bekerja sambil belajar. Belajar untuk menjadi trainer yang baik.

    “Ok. Satu soalan yang bagus. Ada sesiapa ingin berkongsi pandangan tentang perkara ini?” soal Fadzli Yusof kepada semua peserta yang hadir.

    “Pada pendapat saya, dalam permainan bola sepak setiap orang mahukan kumpulannya menang. Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, mereka tetap akan mendapat kemenangan tersebut.” Seorang peserta memberikan pandangan.

    “Ada pendapat yang lain lagi?”

    “Mungkin saya boleh huraikan sedikit lagi pendapat kawan tadi. Dalam permainan bola, kita berkongsi matlamat yang sama. Jika kumpulan kita yang menang, maka reward akan dikongsikan bersama…” kata seorang lagi peserta.

    Sebahagian peserta program

    “Ya, teruskan.”

    “Tapi apabila masuk dalam konteks bekerja di pejabat, kita tidak nampak reward yang akan dikongsi bersama. Jika jualan rumah meningkat, maka unit bahagian jualan sahajalah yang mendapat untung. Tetapi kami di unit-unit lain yang turut bekerja, hanya menerima gaji bulanan macam biasa. Seolah-olah kami ini tidak menyumbang apa-apa dalam kejayaan tersebut.” ujarnya.

    Mengharapkan penghargaan

    Saya berfikir sendirian. Perkara sebegini turut berlaku dalam apa-apa institusi, persatuan mahu pun kumpulan dakwah.

    “Ah! Kalau aku buat kerja, dia yang kena puji. Dia juga yang dinaikkan pangkat.”

    Memang secara kasarnya kita melihat pekerja atau kawan tersebutlah yang bermasalah. Kadang kita mengatakan yang pekerja atau kawan tersebut buat kerja tidak ikhlas – Mengharapkan penghargaan.

    “Dalam kerja dakwah pun nak berkira jugakah?”

    Sebenarnya inilah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin (leader). Ini bukan isu berkira atau tidak. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh merupakan tulang belakang kepada sesebuah organisasi dan semestinya mereka harus diberi penghargaan.

    Jika tidak, mereka tidak nampak apa sebabnya kerja tersebut perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Mungkin inilah yang menyebabkan sesuatu team-work gagal mencapai hasil yang diharapkan.

    Menyiapkan sesebuah kerja yang diberi menjadikan anda seorang yang berjaya. Menyiapkan sesebuah kerja melalui orang lain atau pekerja menjadikan anda seorang pemimpin. Tetapi melahirkan seorang pekerja yang bagus menjadikan anda seorang pemimpin yang terbaik.

    Kenali setiap kemahuan orang bawah

    “Bersikap tidak peduli terhadap keinginan orang lain bermaksud anda mengendahkan juga sumber utama keupayaannya.”-Walter Lippmann, Pengasas The New Republic-

    Kemahuan atau keinginan merupakan perangsang kepada hasil kerja setiap orang. Jika mereka ada keinginan yang tinggi, maka hasil kerja mereka juga bertambah baik.

    Oleh itu, jika kita dapat kenali keinginan setiap orang di bawah jagaan kita, kita dapat menghasilkan sesuatu kerja yang lebih baik. Bukan sahaja si dia mendapat apa yang dia inginkan, tetapi kita juga tetap dapat apa yang kita inginkan.

    Permainan bermula

    Mungkin kita tidak dapat mengenali setiap keinginan orang bawahan kita, cara yang terbaik adalah dengan menghargai setiap usaha mereka. Berikan penghargaan atas setiap usaha mereka.

    Inilah yang saya lihat Ketua Pengarah TPPT Berhad itu cuba lakukan. Semasa sesi lain yang dikendalikan oleh Tuan Osman Affan, boleh dilihat rata-rata pekerja TPPT Berhad menyukai cara ketua mereka mentadbir. Penghargaan kepada pekerja beliau diberikan melalui pelbagai cara.

    Kepimpinan Nabi Muhammad

    “Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Dan kelak kamu akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kamu pimpin.” –Nabi Muhammad SAW-

    Kepimpinan dalam diri Nabi Muhammad telah dilatih sejak beliau kecil lagi. Sewaktu kecil, beliau menjadi pengembala kambing yang menguruskan ratusan kambing setiap hari. Kambing merupakan binatang yang banyak ragam. Salah kawalan mungkin menyebabkan kambing tersebut bertindak liar.

    Beliau sangat tahu mana satu kambing yang sakit, mana satu kambing besar kepala dan mana satu kambing yang sedang berahi. Mengembala kambing merupakan salah satu alat bantu mengajar terbaik buat Nabi Muhammad.

    Dari situ kepimpinan beliau dibentuk secara perlahan-lahan. Beliau mengenali para sahabat dengan begitu rapat. Beliau tahu mana sahabat yang boleh dilantik sebagai ketua atau pemimpin, mana sahabat yang boleh memimpin angkatan tentera, mana sahabat yang boleh menjadi perancang strategi dan mana sahabat yang boleh jadi motivator.

    Nabi Muhammad juga memberi penghargaan kepada sahabat-sahabat beliau. Sama ada dalam bentuk pujian mahu pun benda.

    Kesimpulan

    Seperti kata Nabi Muhammad, setiap orang adalah pemimpin. Cuma kita yang perlu kenal pasti siapa orang yang perlu kita jaga dan perlu kita beri perhatian. Beri perhatian di sini bermaksud menilai kelebihan yang terdapat pada mereka dan memberikan penghargaan atas setiap kerja baik yang mereka lakukan.

    Kita mungkin tidak dapat memuaskan hati banyak pihak tetapi cara yang paling mudah adalah menunjukkan penghargaan terhadap setiap usaha mereka.

    Baca juga entri ini:

    Kursus Motivasi Kecemerlangan Jati Diri TPPT Berhad

    .

    Azree Hanifiah

    17 Jun 2008

    Baytul Fareed

    Tags: , , ,

4 Comments


  1. amierwan says:

    salam ziarah encik azree..

  2. hairul says:

    Assalamualaikum.

    Hmm….terfikir sejenak tentang peranan seorang pemimpin. Amat susah dan mencabar. Dari seremeh-remeh perkara, hinggalah yang besar, semuanya perlu diambil kira.

    Oh, baru lepas habis baca buku John C. Maxwell. Semoga kita semua bakal jadi pemimpin yang berjaya, pada diri dan juga organisasi yang lebih besar.

    Gud luck Azree :)

  3. Zamri Mohamad says:

    Ini entri yang cukup memberi kesan kepada diri.

    ZAMRI MOHAMAD
    http://www.zamrimohamad.com

  4. Salam abg Hazwan, orang kuat BADAR SMKA SHAMS dulu. :D

Leave a comment