Kenapa Tidak Menangis

“Kenapa kamu tak menangis? Tak sayang mak bapak?” Soal seorang fasi kepada saya.

Ingatan kepada program-program lalu yang pernah saya sertai membuatkan saya semakin berhati-hati apabila disuruh memikirkan modul. Dan memang jika diminta untuk menguruskan sesi muhasabah, memang saya tolak.

Bukan apa, saya sendiri tidak pernah merasa apa-apa setiap kali menghadiri sesi muhasabah. Kadang-kadang modul yang digunakan buat saya rasa jemu, pelik, rasa tidak perlu, tidak penting dan sebagainya.

Dan pernah saya duduk sama berbincang untuk menguruskan satu program. Sewaktu perbincangan tersebut menghala kepada sesi muhabah, terjadi dialog yang memelikkan saya.

“Apa sebenarnya objektif diadakan sesi muhasabah ini?” Soal saya yang sebenarnya mahu menukar sahaja sesi itu kepada perkara lain.

“Supaya timbul kesedaran dalam diri mereka. Nanti balik rumah dapatlah ibu bapa dia merasa tangan dicium, dipeluk.” Balas seorang fasi.

Kemudian perbincangan diteruskan dan saya mendiamkan diri.

“Aku rasa kena tukar la modul yang ini. Macam tak sesuai. Apa kata kita buat ini, ini, ini dan itu, itu, itu.” Kata si fulan 1.

“Hurm. Tapi macam tak buat mereka rasa sedih saja. Aku tak menangis kalau kena modul macam ini.” Kata si fulan 2.

Inilah yang saya pelik. Perlukah buat modul dengan harapan supaya si dia timbul rasa sedih dan menangis? Adakah kesedaran timbul dengan hanya ada kesedihan atau babak-babak menangis? Kerana inilah yang saya hadapi selama ini.

Tidak pernah saya dapat berfikir dengan tenang kalau dalam keadaan menangis. Jadi, kalau tidak dapat berfikir dengan tenang, bagaimana pula ingin menyelesaikan setiap apa masalah yang saya lakukan.

Bukankah muhasabah itu ertinya menilai setiap apa yang telah kita lakukan? Tidak kiralah kita menilai perkara yang baik atau perkara yang buruk yang kita lakukan. Tidak mungkin kita dapat menilai dengan baik dalam keadaan kita menangis teresak-esak. Takut-takut bercampur dengan emosi yang kacau-bilau.

Andailah kata, kita buat satu modul muhasabah itu tetapi si dia tidak menangis. Janganlah kata dia tiada perasaan sayang atau apa-apa. Mungkin dia lebih matang untuk muhasabah dalam keadaan tenang daripada anda yang muhasabah dalam keadaan menangis teresak-esak.

Menangis adalah proses menyesali akan perbuatan yang dilakukan. Muhasabah pula adalah proses supaya si dia menyedari dan menginsafi akan perbuatan yang dilakukan.

Muhasabah dengan cara bercerita

Saya bukanlah anti kepada sesi muhasabah yang sayu pilu, cuma saya dahulunya belajar di sebuah sekolah asrama yang sesi muhasabah setiap malamnya penuh dengan marah-marah. Tetapi dengan cara itu juga saya sedar apa silap yang telah dibuat.

Setakat ini hanya dua sesi muhasabah sayu pilu yang berjaya buat saya sedar dan berfikir kesilapan lalu. Satunya pernah saya ceritakan dalam entri ’Zero to Hero’ yang kami duduk dalam satu kumpulan kecil dan menceritakan sesuatu perkara yang tidak pernah diceritakan kepada orang lain.

Setiap seorang menceritakan masalah, kesilapan yang pernah dia buat dan bagaimana dia mengatasi, apa yang dia mahukan dan lain-lain lagi. Sementara yang lain duduk mendengar dan ada masanya mencelah memberi pandangan. Habis satu cerita, orang lain dalam kumpulan tersebut akan memberi pandangan, idea atau saranan yang baik kepadanya.

Sesi kedua pula yang saya hadiri sebagai fasilitator. Ada dua orang fasilitator di hadapan menceritakan tentang dirinya dengan ibu bapanya. Apa kesilapan yang pernah dilakukannya dan bagaimana ibu bapa dia sayangkannya. Walaupun ada kalanya dia dimarahi kerana perkara yang dia tidak rasa salah pun.

Kadang-kadang mendengar cerita orang lain lebih membuatkan kita sedar betapa berharganya hidup kita daripada modul kapal layar karam di tengah laut dan sebagainya.

Kalau kita melihat dan membaca buku-buku motivasi pun, kebanyakannya dipenuhi dengan cerita-cerita. Dan buku ‘La Tahdzan’ yang menjadi sebutan ramai juga penuh dengan cerita.

Perkara yang perlu diberi perhatian

Dialog di awal entri saya itu bukan direka-reka. Memang betul-betul dikatakan kepada saya. Kerana itu saya mohon kepada mana-mana fasilitator yang ingin membuat modul muhasabah ini supaya menjaga setiap kata-kata anda.

Kadang-kadang dengan hanya melihat orang menangis pun, emosi kita boleh terganggu. Mungkin itu yang menyebabkan fasilitator tersebut tersilap sebut, terlepas cakap dan sebagainya.

Pernah saya pergi ke rumah anak yatim untuk majlis berbuka puasa dan salah seorang anak yatim tersebut menceritakan sesuatu kepada saya. Ada ceritanya di entri http://studiomuslim.com/motivasi/berfikir-sebelum-bercakap/

“Dulu pernah ada kumpulan pelajar universiti buat program di sini. Ada seorang kakak tu kononnya nak buat sesi muhasabah biar orang menangis. Tapi banyak benda yang dia terlepas cakap.”

“Terlepas cakap macam mana?” Soal saya.

“Ada ke dia kata ‘Apa kamu tak sayang ibu bapa kamu yang dah meninggal ke?’, ‘Mak bapak kamu dah mati, tetapi kamu tak sedar diri!’.”

Inilah yang ditakuti berlaku jika modul muhasabah itu tidak dirancang betul-betul. Ada perkara yang kita boleh kita sebut dan tidak boleh kita sebut. Ada perkara yang perlu berhati-hati untuk menyebutnya.

Walaupun program tersebut bukan untuk anak yatim, kemungkinan untuk ada salah seorang daripada peserta itu adalah anak yatim perlu difikirkan. Kalau pun memang tiada langsung, tetapi ada juga peserta yang memang telah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk ibu bapanya, cumanya dia tidak menangis.

Kalau betul-betul mahu buat sesi muhasabah sayu pilu, setiap perkataan perlu dijaga sebelum menyebutnya. Dan ingat kembali objektifnya adalah untuk memberi kesedaran bukannya supaya mereka yang mendengar itu akan menangis.

P/s: Entri ini ditulis oleh seorang fasilitator biasa-biasa tanpa apa-apa pengalaman hebat. Jadi janganlah disedut 100%.





Hak cipta terpelihara © StudioMuslim.com (2007 – 2008)

Setiap artikel yang tersiar di StudioMuslim.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat StudioMuslim.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.

Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada penulis terlebih dahulu.



Azree Hanifiah @ StudioMuslim.com

Popularity: 25% [?]

14 Comments »

  1. avatar comment-top

    assalamualaikum…

    teringat saya pengalaman sesi muhasabah waktu di sekolah menengah, seorang kakak senior kami menangis sehingga pengsan.. kelam kabut jadinya. dan sesi muhasabah terhenti disitu..huhu.

    dan ketika menjadi fesi pemerhati sewaktu sesi muhasabah di satu sekolah menengah di johor, seingat saya tak ramai yang menangis, tak sampai 30%, pasti ada kelemahan yang kami tak sedari. Menurut sahabat saya, tiada siapa bangkitkan perkara ini sewaktu sesi postmortem. memang perlu mencari cara dan pendekatan lain jika mahu sesi ini diteruskan

    [Reply]

    comment-bottom
  2. avatar comment-top

    terkenang sessi muhasabah di PJKN
    :)
    bagi saya ia sesuatu yang menyampah
    nampak sangat dialog yang digunakan nak suruh menangis
    bukan menginsafi diri

    [Reply]

    comment-bottom
  3. avatar comment-top

    Cha,
    Masa di PJKN(Program Jatidiri Kesukarelaan Nasional) tu aku pun tak menangis. Dengar saja kata-kata orang yang conduct majlis tu rasa macam nak pergi depan dan ambil microfon saja.

    Asyik ulang ayat yang sama supaya peserta perempuan atau yang lemah semangat menangis. Hurm. Mahu muhasabah atau mahu orang menangis?

    [Reply]

    comment-bottom
  4. avatar comment-top

    kadang2 kita terlau mengikut status quo. Muhasabah mesti ada menangis..kita perlukan sentuhan hati bukan dipaksa2…

    [Reply]

    comment-bottom
  5. avatar comment-top

    Salam…

    Saya sebenarnya paling tidak suka sesi muhasabah, menyampah pun ada, meluat pun ada dan kadang-kadang mahu gelak pun ada.

    Entahlah, bagi saya, kadang-kadang kesedaran akan lahir daripada provokasi, mendengar cerita individu lain, membaca dan yang selalunya terjadi adalah pengalaman berterusan yang terbimbimbing.

    [Reply]

    comment-bottom
  6. avatar comment-top

    huhu, sahih. Paling tak suke sesi muhasabah dalam program. Lebih mengambil iktibar dan muhasabah diri daripada kesah2 orang lain. Itu yang lebih terkesan.

    [Reply]

    comment-bottom
  7. avatar comment-top

    memang dah banyak sesi muhasabah yg sy lalui..tp mcm yg nta ckp kebiasaannya mereka menggunakan ayat yg same..kadng2 kite yg mendengarnye dah dpt agak ape yg nak diucapkan.
    pd pndgan sy,mereka akn rase sesi tu berkesan sekiranye peserta tu MENANGIS..tp sebnrnye tak ramai org yg menangis tu akn berubah..

    wallahu’alam

    [Reply]

    comment-bottom
  8. avatar comment-top

    Hmm.. saya juga tidak bersetuju dengan muhasabah begini.. (oh kalau dibaca oleh sahabat-sahabat yang mengendalikan program tentu mereka marah..hehe).

    Seperkara, janganlah sekali-kali buat sesi kerusi panas, di mana seorang peserta duduk di kerusi manakala orang lain membentangkan kesalahan dan kelemahan peserta tersebut. Saya pernah mengalaminya dalam satu induksi persatuan. Sesi tersebut sangat memberi kesan. Hasilnya saya tidak dapat menerima fasilitator tersebut sehingga berbulan-bulan lamanya dan saya mengamuk dalam program tersebut..hahaha

    [Reply]

    comment-bottom
  9. avatar comment-top

    Sdr Xara,
    Aktiviti yang saya buat bukan sesi kerusi panas. Tetapi sesi bercerita pengalaman masing-masing secara berkumpulan. Setiap orang bercerita pengalaman mereka dan orang di sekeliling diam mendengar. Sekali-sekala beri pendapat atau pandangan secara baik.

    [Reply]

    comment-bottom
  10. avatar comment-top

    Ada perbezaan antara peserta yang diberikan peluang untuk bercerita secara sukarela berbanding dipaksa mendengar keburukkannya sendiri di hadapan orang lain. Orang boleh bercerita mengenai pengalaman sendiri selama berjam-jam, tetapi tidak dapat menahan 5 minit pun untuk mendengar orang lain memberitahu himpunan perangai buruk sendiri.

    Huh.. bagaimanalah agaknya nanti di Padang Masyar? Habis luruh kulit muka kerana malu..

    [Reply]

    comment-bottom
  11. avatar comment-top

    Kekadang facy-facy tu memang kurang ajar sket. Nak buat macam mana..rasa nak hentak pun ada. Tapi sabar jela sebab faham sangat modul tu..

    aku bengang gak pasal tak nangis..Tak nangis pun nak bising ke? Mak abah aku idup lagi. Takkan nak nangis..

    Kadang2, faci nih main hentam je. Janji program jalan. Tapi lepas aku jadi faci, baru aku tau pergerakan kerja diorang. Ianya tak seindah apa yang diwar-warkan. keje memang susah. Lagi2 la kalau budak baru. Memang main hentam ja..

    [Reply]

    comment-bottom
  12. avatar
    udangalahkecil Says:
    December 26th, 2007 at 6:16 am
    comment-top

    ..kadang2 dlm program camnie..pnah ana rase biase je awal2..pastuh..bile x nangis rase cam x ikot btol2 atau cam hati ni keras plak..so0 ana pun try2 la nangis(boleh plak camni..)..

    tp btola..time nangis xde la sempat nak pikir2 tenang2..memang emosi je lebey..duk bayangkan mende2 yg horrible..

    ana lg prefer muhasabah dengan cite2 tauladan…camnie boleh la kite amik pengajaran lpas pikir dalam2(+tenang)bandingkan dgn diri sendiri…camnie….xde la mata merah2 lpas program..

    [Reply]

    comment-bottom
  13. avatar comment-top

    bila bercakap tentang muhasabah diri ni. macam stereotaip untuk mana2 program baik di sekolah, universiti mahupun organisasi. kadang2 bila buat program ni penganjur asyik fikir aktiviti apa nak buat bukannya pengisiannya. saya antara orang yang memeng extremely tak suka dengan konsep kerusi panas ni.mungkin dibesar dalam keluarga dan persekitaan yang memerlukan tahap survival yang tinggi, saya melihat sesuatu isu yang remeh itu tidak perlu. pernah sekali, saya dipaksa menghadiri sesi muhasabah diri, seorang peserta yang bercerita bagaimana dia merasakan kekurangan kasih sayang kerana ibu bapanya terlalu sibuk bekerja . kesenangan tidak bermakna tanpa peluk cium malam hari dari ibu dan ayah. perlu ker saya menangis untuk si pulan ini yang ke kelas menaiki kereta sandal pun hush puppies. saya terpaksa bekerja hanya untuk memastikan saya dapat belajar, tak sanggup rasanya melihat ayah yang uzur bekerja siang dan malam untuk membesarkan saya adik beradik, saya tak pernah menyalahkan ibu bapa diatas segala kekurangn adakah itu tanda mereka tak sayang kami beradik. saya masih bersyukur dan termuhasabah dengan sendirinya. saya percaya ada sesetengah perkara memang tak boleh dikongsi.

    [Reply]

    comment-bottom
  14. avatar comment-top

    Saya memang x nafikan pasal “Kadang-kadang mendengar cerita orang lain lebih membuatkan kita sedar betapa berharganya hidup kita.

    Kalau kita melihat dan membaca buku-buku motivasi pun, kebanyakannya dipenuhi dengan cerita-cerita.”

    Sebab saya sendiri pun suka baca kisah2 utk muhasabah diri. Boleh dijadikan teladan.

    [Reply]

    comment-bottom

RSS feed for comments on this post. TrackBack URL

Leave a comment