Sebelum Mahu Kahwin

“Cinta itu kan fitrah. Tak salah bercinta,” Kata si fulan 1.

“Islam tak larang lelaki dan wanita berhubung,” Si fulan 2 pula menyampuk.

Ya. Memang betul bahawa lelaki dan perempuan boleh berhubung. Dan patut saling mengenali jika ada hasrat untuk bernikah.

Malah Nabi Muhammad turut menyuruh kita supaya melihat terlebih dahulu bakal pasangan kita itu. Ada satu kes pada zaman Nabi Muhammad yang berlaku antara Habibah binti Sahl dengan Tsabit bin Qais.

Habibah tidak pernah melihat bakal suaminya sebelum berkahwin sampailah tiba malam pertama. Habibah sangat terkejut bila bertemu suaminya sehingga dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.

“Wahai Rasulullah, kepala saya tidak dapat bertemu dengan kepala Tsabit buat selama-lamanya. Saya menyingkap ruang kamar, dan melihatnya bersiap-siap. Ternyata dia sangat hitam kulitnya, pendek tubuhnya, dan sangat buruk wajahnya….” (HR Al Bukhari dan An Nasa’i)

Tetapi semua di atas ini bukanlah alasan untuk kita melanggar semua peraturan yang telah digariskan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Mahu berkenalan itu adalah perlu, tetapi perlu mematuhi batas pergaulan.

Degup-degup Ta’aruf

“Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.

Ungkapan Jabir bin Abdullah ini membawakan perasaan tegang, lucu dan menunjukkan degup di dada kian terasa untuk berkenalan. Memang Nabi Muhammad menyuruh para sahabat untuk mengenali terlebih dahulu pasangan yang ingin dinikahi.

Tetapi para sahabat tidaklah mengambil peluang tersebut – mengenali dengan cara berdua-duaan, berbual-bual berjam-jam, bergelak tawa dan sebagainya. Kerana mereka sedar ada batasan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dan mereka faham jika itu yang agama pinta, mesti ada sebabnya.

Apa yang perlu diwaspadai adalah ketika degup-degup itu dihasut oleh syaitan. Lalu menjadi serong. Tersimpang jauh dan menyesatkan. Sampaikan perkara yang salah kita katakan betul. Inilah yang ingin dibincangkan dalam entri kali ini.

Simpan Itu, Untuk Yang Halal Bagimu

“Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya dari sudut zina akan bertemu dalam hidupnya, tidak bisa tidak. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini oleh kemaluan, atau didustakannya.” (HR Muslim, dari Abu Hurairah)

Hadis ini meminta kita berhati-hati terhadap setiap yang kita lakukan. Setiap daripada anggota badan kita ada masanya yang memacu kita ke arah zina. Kadang kita sendiri tidak sedar. Tetapi bila ada yang memberi teguran mengingatkan, maka terimalah.

Jangan pula kita cuba mengatakan perkara yang kita buat itu betul.

 

Bagi yang sudah berpasangan, katakan kepada pasangan anda, “Kalau yang kamu ingin beri itu adalah pesona tatkala saya masih belum layak menerimanya, maka saya harap itu bukan untuk saya. Ya, indera yang boleh memacu kita ke arah zina itu, saya harap bukan untuk saya selagi saya belum berkahwin dengan kamu.”

Setiap indera kita iaitu mata, telinga, lisan dan sentuhan boleh memacu kita ke arah zina. Ini yang perlu kita jaga sebaik mungkin selagi belum berkahwin.

Bantu Aku Menjaga Pandanganku

Pernah saya lihat dompet seorang kawan saya ada gambar seorang perempuan. Nampak macam tidak salah. Ah! Apa salahnya sekadar melihat gambar, bukannya bertemu melihat depan-depan.

Ya, tidak salah kalau kita ingin melihat terlebih dahulu wajah dan bentuk fizikal bakal pasangan kita itu. Tetapi kalau sampai disimpan dalam dompet, laptop dan ditampal di loker untuk ditatap hari-hari itu, mungkin akan mendatangkan masalah.

Itu bukan lagi niat untuk berkenalan tetapi sudah menjadi penyakit kepada hati. Kalau lama-lama sampai bertahun-tahun mungkin menimbulkan rasa jemu. Ah, sedangkan kalau seseorang itu pakai baju yang sama berhari-hari pun, sudah tentu kita jemu memandangnya.

“Oit, kau dah takde baju lain nak pakai ke?”

Ini baru soal melihat gambar berhari-hari, belum lagi bagi yang berjumpa mahu berhari-hari jugalah. Bak kata orang yang bercinta ini, sehari tidak jumpa bagaikan hati sudah mahu dirobek keluar. Makan pun tak lalu.

Ha. Kalau makan tak lalu, berpuasalah. Hehe. Lagi saya suka kalau saya yang makan tak lalu. Boleh kuruskan badan.

Mahu dikatakan sepandai-pandai kita pun, lagi pandai si syaitan tersebut. Orang kata lebih lama hidup maka lebih banyak pengalaman. Cuba kira sudah berapa lama kita hidup dan sudah berapa lama syaitan ini wujud di muka bumi.

Betapa pandainya syaitan ini sampai bila kita melihat si dia, mata kita terasa terpikat sampai badan tiba-tiba jadi cergas. Biasalah kalau sudah tergoda, ibaratnya macam disuntik dadah. Kemahuan meluap-luap. Kemudian timbul pula penyakit hati.

Bantu Aku Menahan Kebisingan Syahwat

Wahai perempuan, tahukah anda bahawa imaginasi kaum lelaki ini begitu tinggi? Sampaikan kami ini boleh mengimpikan dan membayangkan dengan detail apa-apa sahaja dengan hanya mendengar suara.

Jika suara anda itu lembut, ia akan membuat dentingan frekuensi yang sangat halus sampai menyengat-nyegat jiwa. Kadang-kadang berbisik-bisik sampai menimbulkan rasa ghairah yang tinggi.

Saya bukannya menyuruh anda berteriak-teriak apabila bercakap dengan kaum lelaki. Memang sudah fitrah suara perempuan itu lembut. Jadi, janganlah dilembutkan lagi. Sampai merengek-rengek bercakap dalam telefon.

Ah! Anda jangan ingat kalau cakap dalam telefon, kami tidak boleh membayangkan sesuatu. Bukankah saya sudah katakan tadi imaginasi kami ini sangat tinggi sampai anda tidak dapat membayangkannya. Hehe. Kalau tidak mana mungkin terlalu banyak iklan klub-klub telefon dalam majalah Mastika.

Apa yang perlu dibuat apabila ingin bertemu dengan lelaki, tegaskan suara. Biar frekuensi itu tidak dapat menjentik sedikit pun hati-hati kami.

Dan kepada kaum lelaki, tahanlah nafsu itu. Nanti niat asal yang hendak berkenalan itu jadi lain pula. Terpikat dengan suara, bukannya terpikat dengan agama.

Bantu Aku Bernafas

Jangan pula dilupakan hidung. Ini pun satu lagi deria yang sangat sensitif.

“Wanita mana yang memakai haruman kemudian keluar dan berharap agar orang ramai dapat menghidu bau haruman tersebut, maka dia adalah penzina.” (HR Abu Dawud dan At Tirmizi)

Sekali lagi ingin saya ingatkan, imaginasi lelaki ini sangat tinggi. Sekali dia membau haruman daripada badan, berkemungkinan dia membayangkan sesuatu yang tidak patut.

Kulitku Sangat Peka

Seorang naqib saya sewaktu di sekolah tersebut pernah mengibaratkan akan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita itu seperti persentuhan kulit kita dengan kulit babi.

Jangan salahkannya, kalau tersentuh kulit babi masih boleh disucikan. Tetapi dengar pula hadis yang ini:

“Sungguh, jika kepala salah seorang daripada anda dicucuh dengan jarum besi yang menyala, itu masih lebih baik daripada anda menyentuh perempuan yang tiada halal bagimu.” (HR At Thabrani dan Al Bahaiqi)

Masih lagi saya ingin ingatkan, kita ini kaum lelaki sangat kuat berimaginasi. Kalau dengan mendengar dan bau sahaja pun sudah menerbitkan khayalan-khayalan yang tidak patut, apatah lagi kalau dapat menyentuh si dia.

Ah! Anda mahu berkenalan atau mahu apa ini?

Kawal Kata-kata

Orang kata bila mahu berkenalan perlulah memaniskan kata-kata. Ya, betul. Tetapi memaniskan kata-kata bukan bermaksud sengaja membunga-bungakan kata-kata.

Cukuplah mengeluarkan ayat-ayat yang sopan. Jangan sampai keterlaluan sampai bahasa berbunga-bunga. Kalau mahu menulis sajak, bolehlah.

“Saudari, minggu depan rasanya kita perlu buat meeting untuk program ini.”

“Saudari, rasanya sudah tidak tertahan hati ini untuk berjumpa. Moga silaturrahim yang dibina akan memantapkan gerakan program ini.”

Bezakan dua ayat di atas. Kalau rasa pernah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata dengan harapan dapat menyentuh hati si dia, maka cubalah berhenti sekarang. Bukankah anda kata sekadar mahu berkenalan. Apabila sudah berkahwin nanti, buatlah ayat yang macam mana sekalipun.

Jaga Jarak

“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan janganlah seorang wanita keluar dengan seorang lelaki kecuali ditemani mahramnya.” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Kalau tidak bertemu atau berjumpa, orang kata tidak sah sebagai syarat untuk berkenalan. Tetapi ada syaratnya juga.

Kalau mahu berkenalan dengan si dia, jadilah lelaki yang berani terus berjumpa dengan ibu dan bapanya. Bukannya sekadar berjumpa di taman, di cafe atau di library.

Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama, pastikan perkara itu betul-betul perlu. Atau betul-betul terdesak. Jangan jadikan alasan dengan mengatakan sekadar mahu belajar. Eh, rakan sekuliah yang sama jantina bukankah ramai?

Berkenalan Sebelum Berkahwin

Saya cuba meringkaskan apa yang saya tulis di atas. Menurut Syeikh Muhammad al-Munajjid, beliau menggariskan beberapa perkara dalam pergaulan lelaki dan perempuan:

1. Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik.

2. Tidak bergurau secara berlebih-lebihan dan melembutkan suara.

3. Tidak bertanya mengenai perkara peribadi (personal).

4. Berhenti bercakap jika berlaku keinginan didalam hati.

Dan adat Melayu janganlah diabaikan. Bukankah adat Melayu itu juga banyak terselit unsur Islam. Ingat lagi adat merisik?

Orang waktu dulu bila menyukai seseorang, dia akan meminta orang lain merisikkan untuknya. Bukannya dia yang dengan muka tidak tahu malu merisik sendiri.

Janganlah kata adat merisik kita ini kolot. Tidak kena dengan peredaran zaman. Dan kemudian mengguna pakai adat Barat yang kononnya dikatakan moden. Tetapi adat mereka itulah yang merosakkan institusi kekeluargaan di sana.

Masihkah anda mahu kata adat kita ini kolot?

 

Sumber rujukan: Nikmatnya Pacaran Selepas Pernikahan

P/s: Maafkan saya jika maklumat yang diberi tidak mencukupi kerana bahan bacaan yang terhad. Jika anda rasa ada perlu ditambah atau perlu diubah dalam entri ini, sila nyatakan.





Hak cipta terpelihara © StudioMuslim.com (2007 – 2008)

Setiap artikel yang tersiar di StudioMuslim.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat StudioMuslim.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.

Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada penulis terlebih dahulu.



Azree Hanifiah @ StudioMuslim.com

Popularity: 23% [?]

12 Comments »

  1. avatar comment-top

    Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan janganlah seorang wanita keluar dengan seorang lelaki kecuali ditemani mahramnya.” (HR Al Bukhari dan Muslim)

    Ada satu pendekatan jika lelaki dan perempuan bukan muhrim bertemu apabila perempuan membawa rakan ke dua yang dipercayai boleh menjaga rahsia, menjaga aib rakan perempuan dan menjadi penegah lembut jika perempuan itu luar garis.

    Keluar ramai-ramai dan interaksi.

    Apa dimaksudkan dengan Tidak bertanya mengenai perkara peribadi (personal). Tolong jelaskan maksud ayat Muhammad al-Munajjid.

    “Kalau mahu berkenalan dengan si dia, jadilah lelaki yang berani terus berjumpa dengan ibu dan bapanya. Bukannya sekadar berjumpa di taman, di cafe atau di library.”

    Macam mana nak pasti dia orang betul-betul kita nak kenal. Kalau orang perempuan nak kawan biasa dengan lelaki kena ikut cara ni jugakah.

    “Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama,” Err itu sahaja ke benda penting dalam pemahaman saudara….

    Apa maksudnya Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik. Tolong hurai…. bukan manusia ni bergerak dari satu topik ke satu topik?

    Dalam entri:

    “Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.

    Ungkapan Jabir bin Abdullah ini membawakan perasaan tegang, lucu dan menunjukkan degup di dada kian terasa untuk berkenalan. Memang Nabi Muhammad menyuruh para sahabat untuk mengenali terlebih dahulu pasangan yang ingin dinikahi.

    Bagaimana? Apa jadi dengan cerita Jabir, adakah nabi marah atau tidak? Adakah nabi kata dia pendosa buat begitu, kami nak huraikan lanjut.

    [Reply]

    comment-bottom
  2. avatar comment-top

    bacaan tambahan? Kado pernikahan untuk istriku dan aku menikah di jalan dakwah.. sumber bertulis memang tak banyak, sumber orang masih hidup banyak.

    jaga jarak! hm… satu perkara yang semakin dilupakan… rasanya macam mana nak terjemahkan tulisan ni kepada tindakan yang berkesan kepada pelajar ’sekolah’ kita?

    [Reply]

    comment-bottom
  3. avatar comment-top

    Bagus2…Entri yang kira cukup lengkap. Tp mampukah kita melakukannya? itu terpulang kpd diri masing2…

    Sy rasa biarlah sy jawapkan soalan yusnita tu sekadar apa yang sy faham.

    Soalan pertama rasanya ditulis dlm ‘jaga jarak’. sudah diterangkan di situ kalau perkara itu betul2 perlu, barulah bleh berjumpa walau ditemankan oleh kawan. menjaga rahsia? itukan seperti kita cari orang temankan tapi dlm hati biarlah orang tu tak beritahu org lain.. tetap salah sebenarnya…

    keluar ramai2 pun boleh…tapi seperti yang ditulis oleh penulis, biarlah perkara yang perlu…

    Soalan kedua… seperti yg ditekankan…rasanya bagi sy mahu berkawan tu bleh… tapi hubungan perlulah dijaga seperti yg ditulis.. dan kalau mahu berjumpa bila betul2 perlu sahaja seperti meeting, belajar bersama dan juga menyertai program yang memerlukan penglibatan secara bercampur lelaki dan perempuan.. Rasanya tidaklah menjadi masalah dan kita tetap bleh belajar berinteraksi..

    Soalan tentang ayat Jabir itu…saya pun tertarik…sila jelaskan..

    p/s: sangat menarik..tapi mampukah kita melakukannya?

    [Reply]

    comment-bottom
  4. avatar comment-top

    “Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.

    Sebenarnya seperti yang saya tulis di entri ini, Nabi Muhammad memang menyuruh para sahabat mengenali terlebih dahulu bakal pasangan yang ingin berkahwin. Tetapi kita lihat pula apa respon para sahabat dengan arahan Nabi Muhammad. Mereka tidaklah sampai perlu berjumpa untuk mengenali si pasangannya lantas tiada satu pun batas pergaulan yang dilanggari.

    Maka, perbuatan Jabir bin Abdullah ini tidaklah salah. Dia sekadar ingin melihat dari jauh sahaja bagaimana rupa bakal pasangannya.

    — “Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama,” Err itu sahaja ke benda penting dalam pemahaman saudara…. —

    Saya juga telah menulis yang entri ini ada kelemahannya, kalau saudari Yusnita ingin menambah apa-apa, silakan kongsi di sini. Memang ada banyak lagi perkara penting tetapi pastikan betul-betul yang ia memang betul-betul penting dan betul-betul memerlukan percampuran lelaki dan perempuan. :D

    Agama perlu dijaga.

    [Reply]

    comment-bottom
  5. avatar comment-top

    benar, agama perlu didahulukan.

    Walau semoden cemana pun taraf hidup kita, pegangan agama akan mengatur hidup menjadi lebih beretika, saling hormat- menghormati dan bersopan.

    Syabas, entry yang menarik :)

    syukran jazilan ..

    - Shueqry -

    [Reply]

    comment-bottom
  6. avatar comment-top

    “Macam mana nak pasti dia orang betul-betul kita nak kenal. Kalau orang perempuan nak kawan biasa dengan lelaki kena ikut cara ni jugakah”

    saudari yusnita..
    maafkan saya yang kerdil lg kurang berpengetahuan ini
    saya cuba jawap persoalan saudari
    ada sepotong ayat Quran
    yang agak tersohor bermaksud
    kita merancang ALLAH juga merancang
    dan ALLAH lah sebaik-baik perancang
    dalam perkahwinan
    ada 4ciri utama yg disarankan dlm hadis
    cantiknya
    hartanya
    keturunannya
    agamanya
    itu semua benda yang
    boeh kita nampak atau tahu dgn mata kasar
    dan d hujung hadis itu
    “kalau takde 3yang pertama maka pilih lah agamanya”
    sebab tulah
    dlm Islam
    kita digalakkan menyiasat
    bukan nya berkawan dgn bakal pasangan kita tu
    menyiasat disini
    dalam konteks
    kita tanya kawan2 dia, jiran2 dia
    bagaimana perangai dia
    kelakuannya dan sebagai nya

    maaf lah azree panjang pulak komen ni
    ok lah sampai sini je kot
    erm sblm tu
    saya tinggal kan satu persoalan
    untuk direnung bersama

    perlu ke kita berkawan
    antara laki dgn perempuan?

    [Reply]

    comment-bottom
  7. avatar comment-top

    Panduan serba sedikit untuk Taaruf…
    Entry yang menarik..

    [Reply]

    comment-bottom
  8. avatar comment-top

    Saya rasa perlu berkawan antara lelaki dengan perempuan, Cha. Kalau tak macam mana ada interaksi laki dan perempuan zaman nabi dulu. Siap leh diskusi hal-hal masyarakat sampaikan niat dan macam2 lagi.

    Ada satu hadis tu, nabi jalan seorang pun pernah di tahan ditengah2 jalan oleh seorang perempuan sebab nak bertanya masalah agama. Jalan tu pun dalam pandangan orang ramai, bukan tersorok, nabi tak lari ke apa ke, nabi interaksi dengan perempuan tu dengan baik.

    Kalau guna apa orang panggil qiyas dalam hadis ni camner… bukan saya kata gi dating, jumpa dan interaksi salah satu caranye

    kalau takde 3yang pertama maka pilih lah agamanya”

    Macam salah tafsir ayat hadis je cha ni… cuba check balik

    [Reply]

    comment-bottom
  9. avatar comment-top

    cerita jabir abdullah masih tergantung

    [Reply]

    comment-bottom
  10. avatar comment-top

    Nak berkawan bleh tapi kena patuhi sgala syariat… apa yang bleh dilakukan dan yang tak bleh dilakukan.

    dan cik yusnita, hadis yang cik bagi tu untuk menunjukkan yang bleh ada percampuran antara laki dan pompuan. Tapi mestilah dengan bersebab.

    Antara sebabnya adalah atas sebab pendidikan, keselamatan dan kesihatan… Jadi, percampuran bleh berlaku pada keadaan-keadaan yg macam ni…

    Apa yg saya faham penulis ingin bagitahu ialah prcampuran tu bleh tapi biarlah menepati apa yang telah syariat gariskan. dan sy sendiri setuju yg plajar2 zaman skarang brjumpa laki pompuan di library, bkan utk belajar sahaja. kadang entah apa diborakkan sampai hingar-bingar library…bising.

    [Reply]

    comment-bottom
  11. avatar comment-top

    buat saudari yusnita:

    “Ada satu pendekatan jika lelaki dan perempuan bukan muhrim bertemu apabila perempuan membawa rakan ke dua yang dipercayai boleh menjaga rahsia, menjaga aib rakan perempuan dan menjadi penegah lembut jika perempuan itu luar garis.”

    >> na’am, apabila perlu berurusan yang melibatkan dua pihak sahaja, perlu teman seperti yang dinyatakan saudari yusnita. Itupun jika tidak dapat dielakkan dan penting. Tetapi jangan pula menemankan pasangan yang keluar dating, itu sama bersubahat namanya.

    “Keluar ramai-ramai dan interaksi.”

    >> hmm, jika niat untuk berdampingan dengan si dia, tetap salah walaupun keluar beramai-ramai antara lelaki dan perempuan. Lagipun, jika keluar beramai-ramai tu tiada kepentingannya, rasenya tiada keperluannya. Jika benar-benar perlu, pandai-pandai jaga diri, iman dan jaga hati.

    “Macam mana nak pasti dia orang betul-betul kita nak kenal. Kalau orang perempuan nak kawan biasa dengan lelaki kena ikut cara ni jugakah.”

    >> 1. Jika untuk berurusan, teruskanlah. Berurusan banyak maksudnya, tapi saudari sedia faham kan. Ape yang saudara azree listkan memang garis panduan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Memang sangat sukar, tetapi jika dilaksanakan oleh setiap individu Muslim, inshaAllah tiada lah lagi berlaku perkara di luar batasan syariat.

    >> 2. Kalau betul-betul nak tahu dia orang yang betul ( referring to calon suami/isteri), mudah aje, mintak bantuan dari Dia dengan istikharah yang disertai usaha kita dalam mengenali si dia dalam batasan syariat yang telah saudara azree state kan dalam entry di atas.

    “Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama,” Err itu sahaja ke benda penting dalam pemahaman saudara….”

    >> itu hanyalah contoh perkara-perkara urusan penting yang dinyatakan saudara azree, jika hendak di listkan kesemuanya pasti penuh entry beliau. Tidak begitu?

    “Apa maksudnya Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik. Tolong hurai…. bukan manusia ni bergerak dari satu topik ke satu topik?”

    >> ya benar, kerana itu kita perlu mengelakkan bercakap mengenai perkara-perkara lagha. Selesaikan urusan yang berkaitan, itu sahaja. Papepun kita semua sama2 mohon guidance dari Allah supaya kita buat yang terbaik dalam setiap gerak geri kita, buat apa yang betul dan elakkan apa yang salah. Kita sama2 manusia biasa yang salu alpa dan lakukan kesalahan. Inipun pesan untuk diri sendiri.
    Maaf ye saudari yusnita, sekadar pendapat yang boleh diterima dan ditolak. =)

    walahu’alam

    [Reply]

    comment-bottom
  12. avatar comment-top

    Salam..
    Terjemahan Hadith sebenar..

    Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:

    “Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/keturunannya, karena kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

    [Reply]

    comment-bottom

RSS feed for comments on this post. TrackBack URL

Leave a comment