Nyalakan Nyali

“Azree, sila baca muka surat seterusnya kuat-kuat,” Puan Haznah memberi arahan.

Walaupun hanya disuruh membaca, kaki dan tangan saya sudah menggeletar. Sejak dari sekolah lagi saya sangat takut untuk bercakap di hadapan orang ramai walaupun hanya disuruh membaca sahaja.

Pernah satu ketika, saya perlu untuk menguruskan mesyuarat persatuan kerana saya merupakan setiausaha persatuan tersebut. Kebetulan pula, Presiden persatuan kami tidak hadir. Apabila majlis dibuka dengan Al-Fatihah, terus saya serahkan tugasan mesyuarat kepada rakan lain.

Apabila saya menuntut di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa, saya merasakan perasaan takut saya itu perlu dibuang jauh-jauh. Lebih-lebih lagi apabila saya memegang jawatan dalam mainboard Persatuan Kejuruteraan.

Pernah saya dimarahi oleh penolong saya sendiri kerana asyik meminta dia menguruskan mesyuarat.

Perlu Beranikan Diri

Sehinggalah suatu hari, saya terlibat dalam program kesihatan dan kesedaran tentang isu Palestin untuk penduduk di Keramat. Malam sehari sebelum program bermula, saya terdengar beberapa orang AJK persembahan sedang berbincang.

“Haa, ada apa-apa lagi yang boleh kita tambah untuk persembahan esok nanti?” soal Nasri yang merupakan ketua bagi bahagian persembahan.

Penulis terlibat mengendalikan satu program untuk staf Proton

Saya menyusup dalam perbincangan mereka.

“Sekarang kita sudah ada berapa persembahan untuk esok nanti?” soal saya sambil memandang kepada Nazri.

“Setakat ini kita sudah ada nasyid, pantomin dan pidato ringkas berkaitan Palestin. Enta nak buat persembahan jugakah?” balas Nazri.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang.

“Ana rasa ana nak baca sajak esok hari, boleh?” tanya saya pula.

“Enta boleh baca sajakkah?”

“Belum cuba belum tahu,” balas saya yang tidak pernah langsung baca sajak. Malah tidak tahu bagaimana cara-cara mendeklamasi sajak.

Malam itu saya mencari-cari sajak dalam simpanan laptop. Akhirnya terjumpa sajak pendek, ringkas tetapi penuh makna yang ditulis oleh sahabat maya saya, Hafez Iftiqar.

Esoknya apabila tiba giliran nama saya disebut oleh jurumajlis, tiba-tiba terasa langkah kaki saya longlai. Melangkah satu demi satu menaiki anak tangga pentas.

Dalam kepala saya hanya satu sahaja saya setkan, ‘baca sampai habis baru boleh turun pentas’.

Tangan kiri memegang kertas yang bertulis sajak dan tangan kanan memegang mikrofon. Kedua-duanya menggeletar dengan kuat. Dan saya membaca sajak tersebut sampai habis.

Sebaik sahaja saya turun dari pentas, seorang sahabat menepuk bahu saya dan berkata, “Bagus kau baca sajak tadi. Sampai ada beberapa orang makcik di kerusi hadapan mengeluarkan air mata. Feeling beb sampai terketar-ketar…”

Adus.

Komunikasi Dua Hala

Sejak dari hari itu, saya memberanikan diri untuk menguruskan mesyuarat sendiri dan mendeklamasi sajak di beberapa program Palestin.

Juga mengikuti seorang sahabat juga seorang mentor iaitu Husaini Hussein memberi ceramah motivasi kepimpinan di sekolah-sekolah.

Ketika pertama kali saya menyampaikan ceramah untuk pelajar sekolah, seorang pelajar menegur saya, “Kenapa tangan abang menggeletar?”

Apabila ditegur oleh pelajar tersebut, terus tangan saya tidak menggeletar lagi. Dan dari situ saya belajar kita tidak boleh bercakap seorang diri sahaja di hadapan.

Sebenarnya ketakutan saya untuk bercakap di hadapan adalah kerana merasakan takut jika apa yang saya sampaikan tidak diterima oleh audien. Jadi dengan mengamalkan komunikasi dua hala, saya tidak akan berceramah tetapi memberikan peluang audien berceramah kepada saya.

Banyakkan Memberi

Kemudian apabila saya masuk ke kampus utama Universiti Islam Antarabangsa, saya cuba menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti persatuan. Saya cuba menganjurkan bengkel blog secara percuma dan dibantu oleh Pakdi yang sanggup memberikan ruang SM Learning secara percuma juga untuk bengkel tersebut.

Saya percaya jika kita banyak memberi, rezeki untuk kita itu akan datang sendiri. Jadi jangan takut  untuk selalu memberi kerana Tuhan sentiasa ada untuk menjaga kita.

Nyalakan nyali dan terus mara.

The Author

Beliau merupakan seorang trainer dalam bidang perniagaan internet. Kerap dijemput memberi training di institusi dan organisasi seluruh Malaysia. Harapan beliau hanya satu, 'Berkongsi sehabis mungkin!'Other posts by Azree Hanifiah


8 Responses

  1. Ana ingat anta dari kecik memang dah biasa bercakap di depan, tapi setiap orang pun ada sejarah mereka.


    • Kalau Fais perasan semasa bengkel blog yang saya anjurkan dulu, di atas meja saya penuh dengan kertas nota. Sebenarnya masa itu saya terlalu gemuruh sampai takut terlupa isi yang ingin disampaikan.


  2. serius, memang tak sangka sejarah anta begini!!


  3. salam..
    mmg susah nk ke depan..even kadang2 rasa nk bercakap 2 melonjak2.
    tips yang berguna but still takut nk apply…
    segan …
    bak kata orang mahu tapi malu…


  4. junior MMU

    betul. tuan azree yg sy knl semasa menjd senior dlm MMU dulu mmg berbeza dgn tuan azree skrg :) keep it up!


  5. dillahashim

    haha..mesti tak kenal dah kan..yup2 satu team ngan sarah amran, pengerusi masa tu fikri..rite afta your batch n of course kwn khay :)

    p/s: terlupa lak identiti sy boleh dikesan melalui emel yg kne tulis kat bwh ni. hehe


  6. Haha… hampir sama dengan nasib saya yang pernah diceritakan di sini: http://afyan.com/ver1/?p=137
    :)