Berfikir Sebelum Bercakap

Baru malam semalam saya dapat merehatkan diri daripada dua hari berturut-turut berhadapan dengan dua ujian mid semester yang datang secara mengejut.
Ingatkan ada satu kertas Calculus sahaja. Rupa-rupanya ada dua. Huhu. Inilah akibat tidak membaca betul-betul course outline.
Dan dalam dua hari itu juga, saya terpaksa berkejar ke program sebaik sahaja habis ujian. Program pertama di Sekolah Rendah Al-Amin Gombak dan kemudian terus ke majlis Ifthar bersama saudara baru.
Program kedua yang berlangsung semalam pada hari Ahad pula di Rumah Kebajikan Bakti Penyayang di Damansara. Seronok tak terkata dapat berkenalan dengan adik-adik kecil yang banyak ragam.
Susun dahulu kata-kata
“Bang, malam ni abang naik pentas tak?” Soal seorang adik kecil yang senang dirinya dipanggil Acai. Kira-kira umurnya dalam 8 tahun.
“Buat apa abang nak naik pentas?” Soal saya kehairanan mendengar soalan daripadanya.
“Yela. Malam ni kan ada abang-abang ni buat persembahan.”
“Ish. Suara abang tak sedap. Abang-abang lain tu sedap suara dia, sebab tu la dapat naik pentas.” Saya cuba memberikan jawapan yang terbaik.
“Ye ke? Ke abang takut naik pentas?”
Sampai ke situ pula dia bertanya. Saya termenung sebentar memikirkan jawapan apa yang harus diberi. Dan dengan penuh berhati-hati memilih jawapan, “Kalau abang naik pentas buat persembahan, acai nak naik sekali tak?”
Dia menggeleng-gelengkan kepala. Hehe. Berjaya juga saya menutup mulutnya daripada bertanya. Sebenarnya banyak perkara saya belajar pada malam semalam.
Ada seorang remaja lelaki dalam kumpulan saya yang berasa tidak senang dengan penganjuran program semalam. Umurnya dalam 16 tahun.
Pada mulanya saya berfikir mungkin kerana dalam kumpulan saya itu tiada peserta lain yang sebaya dengannya. Jadi, mungkin itu yang menyebabkannya sedikit ‘malas’ untuk berada dalam kumpulan saya.
Rupanya tidak. Ada sesuatu yang bermain di benaknya. Seusai solat Asar pada petang itu ada majlis tadarus Al-Quran.
Lalu saya nampak dia sedang mencari-cari kumpulan. Saya mendekatinya lalu berkata, “Kalau nak masuk kumpulan kawan-kawan awak boleh je. Abang nak pergi ajar Dzirot baca Iqra’.”
Dia melemparkan sedikit senyum dan terus duduk dengan kawan-kawan sebayanya.
Berhati-hati memilih kata
Pada malam selepas solat Maghrib barulah dia berani membuka mulut menceritakan tentang ketidakpuasan hatinya bila ada orang luar datang buat program.
“Abang tahu, dulu ada satu kumpulan dari universiti mana entah datang sini buat program motivasi. Tetapi ada satu modul tu buat kami marah sangat dengan mereka.”
“Uish. Modul apa tu?” Soal saya cuba membuatkan dia terus bercerita.
“Ada seorang kakak tu, dia suruh semua orang tulis harapan masing-masing kat kertas kosong. Kemudian dia suruh peronyotkan kertas tu dan campak kat mana-mana. Kami pun buatlah apa yang disuruh. Ada kertas yang tercampak kena kat dia.”
“Kemudian apa terjadi?” Saya mula bersungguh ingin tahu ceritanya.
“Tiba-tiba dia melenting marah. Habis keluar semua kata-kata kesat. Ada dia cakap, ‘Mak bapak kamu tak ajar ke dulu….bla..bla….harapan dibuang-buang…bla…bla…’. Kami pun naik marah la.”
Hurm. Terkedu saya mendengar ceritanya. Jiwa setiap manusia lain-lain. Ada yang kalau kita marah, dia boleh terima. Ada yang kalau kita marah, dia akan pendam dalam-dalam. Ada kalau kita marah, dia akan melenting pula.
Lebih-lebih lagi anak yatim. Saya tahu ada diantara beberapa orang membuat modul tersebut dan menghuraikan resolusinya dengan nada marah-marah. Tetapi mestilah bijak memilih kata.
Cuma saya lebih suka kalau buat dalam suasana yang tenang. Marah, marah juga. Tetapi bukan marah-marah. Lain bezanya antara marah-marah dengan marah.
Samalah juga dengan main-main dan main. Apabila menjadi kata ganda ia membawa maksud tindakan yang secara terburu-buru, gelojoh atau secara suka-suka.
Jadi kalau ingin marah, fikir terlebih dahulu apa yang patut dibuat supaya perbuatan tersebut tidak ditakrifkan sebagai marah-marah.
Saya selalu berfikir kalau saya marah seseorang, apa yang dia rasa kepada saya? Perkara inilah yang membuatkan orang kata kepada saya, “Kau ni patut kena la ada sifat marah tu. Ni aku buat apa je, bukan kau nak marah. Bosan betul.”
Saya teringat kata-kata ustazah saya sewaktu saya di sekolah rendah dahulu, “Ada dua peringkat sebelum kamu semua rasa marah. Pertama sabar, kedua memberi amaran dan kali ketiga kalau dia buat perkara yang sama barulah kamu boleh marah.”
Saya sentiasa teringat kata-kata ini, “Kalau dia buat perkara yang sama, barulah kamu boleh marah.” Dan setiap kali saya rasa hendak marah seseorang, saya pasti teringat tentang perkara ini.
Cuma dalam penulisan baru saya sedar saya kadang-kadang terlupa dan terlepas marah seperti yang berlaku dalam entri ‘PRK: Siapa Betul?” Nasib baik seorang kawan membetulkan ada bahagian yang perlu diubah.
Harapan
Perkara yang berlaku kepada anak-anak yatim ini saya pinta jadilah pengajaran bagi sesiapa yang ingin membuat program di rumah-rumah anak yatim.
Mereka menunggu-nunggu kehadiran anda dengan penuh gembira. Jadi, berilah mereka sesuatu yang membuatkan mereka lebih gembira.
Kadang-kadang kita memang akan rasa hendak marah bila melihat mereka buat seperti tidak mahu join sahaja apa yang kita lakukan, tetapi tenangkan fikiran. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan mereka jadi begitu.
Hendak berdakwah dan mengajak ke arah kebaikan bukan satu perkara yang senang.
Satu lagi peristiwa
Kemudian semasa perjalanan pulang dari program tersebut, isteri saya mula meragam. Beberapa mesej dia cuba hantar kepada saya. Ingin menukar rantai rasanya.
Rantainya sedikit kendur dan sproket belakangnya sudah hampir hilang gigi-gigi. Pagi tadi saya membawanya ke bengkel motor untuk menukar rantai dan sproketnya.
Kemudian saya menuju ke kelas, tetapi tiba-tiba saya mengubah haluan ke klinik pula. Selsema yang tidak henti-henti sejak minggu lepas. Dan batuk berkahak.
Kelas ekonomi tersebut terpaksa saya lepaskan. Nasib baik hanya belajar soal inflasi.
Sampai sahaja di klinik, Saya berkata kepada doktor sakit selsema dan batuk berkahak sahaja.
Doktor tanya, “Ada demam tak?”
Saya mengeleng-gelengkan kepala. Kemudian dia menyeluruhi badan saya.
“Kamu tengah demam ni!”
Hak cipta terpelihara © StudioMuslim.com (2007 – 2008)
Setiap artikel yang tersiar di StudioMuslim.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat StudioMuslim.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.
Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada penulis terlebih dahulu.
Azree Hanifiah @ StudioMuslim.com
Popularity: 10% [?]


assalamu’alaikum,
syafakallah. mudah-mudahan lekas sihat.(”,)
erm, rupa-rupanya ramai adik-adik ni yang meluahkan perkara yang sama. ada antara mereka yang dah fobia untuk terima program yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar universiti berkenaan. kalau terlajak perahu, bolehla ditarik, tapi kalau sudah terlajak kata…
mudah-mudahan, program-program yang akan datang akan dapat ubah pandangan adik-adik ni. apatahlagi mereka ni lebih sensitif.
ALLAH LEBIH MENGETAHUI.
[Reply]
Entah. Sebenarnya tak rasa macam demam pun. Terkejut dengar doktor kata tengah demam.
Patutlah seminggu yang lepas, mata asyik ngantuk je. Hehe. Cikgu ajar pun tak masuk.
[Reply]
wah, demam pun boleh tak sedar? kalau orang lain mesti cakap, “aku rasa aku nak demam ni”. padahal tak demam pun lagi.
pandai ye tarik perhatian orang dengan kalimah ‘isteri’ tu? sampai akak nak baca 2, 3 kali supaya faham
[Reply]
Salam,
Sekarang musim demam dan batuk barangkali. Akak salah seorang yang tidak sihat.
Bila bercerita mengenai anak yatim ni teringat satu progam akak di Rumah Raudah di Gombak. Seorang adik ni mula-mula enggan hendak berkongsi masa depan bila kami ajak bercerita mengenai cita-cita. Lama-lama,baru dia hendak berkongsi dan menangis sedu sedan.
Jadi kepada mahasiswa universiti,cubalah berkongsi perasaan mereka dan sayangi mereka. Meski untuk sehari. Tak rugi apa pun.Malah tindakan itu sebenarnya satu tindakan yang akan mereka hargai dari anda.
Bukan hanya buat program nak lulus subjek tertentu sahaja!
Salam.
[Reply]
Kak Mira,
Entah. Pelik gak dengar doktor tu kata demam. Dia bagi panadol, saya telan je la. Hehe.
Kak Haniesalwah,
Ada juga pelajar-pelajar yang selalu buat lawatan ke rumah anak-anak yatim. Tetapi ramai yang sekadar untuk penuhkan markah sahaja.
Itu yang menjadi rungutan beberapa penyelia rumah kebajikan. Kadang-kadang program yang dibuat macam nak tak nak sahaja buat.
Nasib baik, UIA tak sediakan markah untuk orang yang sengaja menyibukkan diri. Kalau tak, entah ada rasa ikhlas nak buat betul-betul atau tak.
[Reply]
“Kemudian semasa perjalanan pulang dari program tersebut, isteri saya mula meragam. Beberapa mesej dia cuba hantar kepada saya. Ingin menukar rantai rasanya.”
agak terkejut.bila pulak kahwin nih?ble baca lg skali baru paham..
erm..btol tue..berfikir sebelum bercakap..kalo tersalah cakap mmg susah..
[Reply]
kampit!
haha
wei ko buat program dekat rumah ank yatim kat damansara
yang salu matrik jemput tu ke?
yang ada sorang budak comel nama hana kan kan?
[Reply]
Cha(Nabil, presiden MSCC UIAM),
A’ah. Rumah anak yatim yang kita jemput untuk program teater muzikal tu. Hana? Alamak, aku tak tahu pula ada budak kecil comel nama Hana. Ruginya.
[Reply]
Syukran jaziilan,diatas mesej nasihat yang membina.semoga menjadi ingatan buat masa mendatang.insyaAllah.
Semoga kita dapat belajar dan terus belajar.
Belajar dari anak yatim,warisan kekasihNya,Rasulullah s.a.w.
[Reply]