Komen Pilihan: Penjelasan daripada Inteam
Terima kasih buat Tuan Hazamin, anggota kumpulan Inteam, kerana sudi memberi pendapat dan maklum balas di blog ini. Saya sendiri sebenarnya merupakan peminat Inteam sejak dari dahulu lagi sampai sekarang.
Dan memang saya nampak perubahan yang besar pada konsep album Inteam bermula pada album ‘Tiada Lagi Kasih’.
Buat pembaca blog saya dan yang memberi komen dan kritikan di entri ‘Ada Apa Dengan Nasyid‘, harap sudilah membaca penjelasan daripada Tuan Hazamin ini. Saya salin semula komen beliau pada entri ini:
Satu artikel yang bagus dan bernas.
Ana bersetuju dengan cadangan perlu ada badan yang menjaga kualiti nasyid dan penasyid. Juga perlu ada satu muzakarah dan diskusi melibatkan penggiat-penggiat nasyid dan ulama’-ulama’ bagi menentukan bagaimana seharusnya rupa sesebuah nasyid itu.
Untuk makluman semua, ana ingin tegaskan di sini Inteam adalah penentang keras lagu nasyid berunsur cinta. Mungkin ramai yang meletakkan kesalahan itu dibahu inteam dan kumpulan seumapamanya sedangkan mereka tidak sedar, kumpulan-kumpulan ini kekadang hanya terpaksa mengikut arahan konsep yang ditentukan syarikatnya.
Kerana semuanya terikat dengan kontrak. Akhirnya inteam sendiri pernah di banned oleh universiti tempat kami belajar sendiri. Kami sentiasa cuba memanfaatkan lagu cinta yang telah kami rakam dengan membuat ulasan setiap kali selepas menyanyikan lagu tersebut, bahawa Islam melarang pasangan-pasangan bercinta sebelum kahwin mahupun selepas bertunang. Itu sahaja setakat yang kami mampu lakukan waktu itu.
Sejak inteam bergerak sendiri, kami telah menerbitkan album Tiada Lagi Kasih bagi memperjelaskan bahawa kami tidak lagi membawa konsep cinta sesama manusia, kerana sekarang kami telah bebas menentukan sendiri konsep kami. Kempen akhbar berlangsung beberapa bulan bagi kami memaklumkan kepada semua bahawa kami tidak menyokong apa yang dikatakan sebagai nasyid cinta.
Kami juga cuba menjadi contoh kepada adik-adik supaya mengelakkan nasyid berunsur cinta sesama manusia. Kerapkali kami nyatakan, jika ada yang mahu membuat nasyid sedemikian, pastikan liriknya telah ditapis dan diluluskan oleh orang yang arif dan alim ilmu agamanya.
Kami kerap diminta menyanyikan semula lagu-lagu Kasih-kekasih, impian kasih dan seumpamanya tetapi kami menolak dengan baik dengan alasan kami tiada minus 1. Hakikatnya kami tidak mahu menyanyikan lagu tersebut lagi.
Hanya lagu Nur kasih yang masih kami nyanyikan kerana liriknya adalah adaptasi dari doa Al-quran dan bukan luahan hati insan kepada insan yang dicintainya, tetapi luahan hati seorang insan kepada Tuhannya agar mengurniakan jalan kemudahan kepada jodohnya.
Ana tidak nafikan ada baik dan buruknya lagu ini, tetapi ana nampak lebih banyak buruknya.
Ana mohon di sini, jangan terlalu cepat melabelkan seseorang sebagai mempergunakan agama, atau bertopeng Islamik dan seumpamanya sedangkan yang berkata itu mungkin tak pernah bersua muka pun dengan yang dikatanya, dan tak tahu hujung pangkal ceritanya. Kita semua sesama Muslim, kita haruslah tegur menegur sesama kita dengan hikmah bukan dengan mengutuk dan memfitnah.
Harap antum jelas dengan pendirian Inteam.
Wallahu a’lam.
Muhammad Hazamin bin Harun
******************************************************
P/s: Saya sendiri merupakan ahli Komuniti Teman Inteam. InsyaAllah kerja murni inteam akan sentiasa dimudahkan oleh Allah akan segala urusan.
*Gambar disalin daripada Facebook Hazamin.

dah lama tak pekena nasyid. rindu rasanya.
Salam buat Tuan pemilik blog dan Tuan Hazamin,
Satu penjelasan yang cukup memberi makna bagi saya kerana saya adalah antara ribuan generasi awal “kasih kekasih – Inteam”. Sementelah pula kesemua ahli kumpulan Inteam adalah satu batch ketika di UIA dahulu dan mengenali mereka secara personal.
Saya memang fanatik nasyid dan mengikuti perkembangannya semenjak daripada sekolah menengah. Namun, bermula daripada tahun akhir kampus ia mulai kendur dan sehingga sekarang. Dalam hal ini, sedikit sebanyak ia berkaitan dengan apa yang disebutkan di sini tentang identiti nasyid yang semakin hilang sedikit demi sedikit.
Komen yang diberikan oleh Tuan Hazamin di atas sedikit sebanyak membuka mata saya tentang industri ini yang semakin suram saya kira. Tahniah kepada Inteam yang bertegas dalam hal ini. Mungkin ia perlu dihebah-hebahkan lagi kerana saya kira persepsi orang ramai terhadap Inteam dengan nasyid jiwang sudah menjadi tanggapan awam yang tidak dapat dibendung lagi.
Malah, saya pernah mendengar daripada seorang bekas aktivis mahasiswa yang mengatakan bahawa kelesuan mahasiswa pasca millenium ini ada kaitannya dengan kemunculan nasyid-nasyid jiwang. Ini kerana katanya, nasyid menjadi hiburan kepada rata-rata aktivis mahasiswa Islam sejak dahulu lagi. Dahulu tema-tema nasyid adalh berkisar ketuhanan, perjuangan, jihad, mati syahid, dan sebagainya. Kehadiran nasyid-nasyid jiwang menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi emosi mereka. Dari tema-tema tadi beralih kepada kasih kekasih, tunang, cincin, cinta, sayang, dan sebagainya. Mungkin ia ada benarnya sedikit sebanyak.
Justeru, cadangan saya kepada Inteam untuk dalam hal ini ia untuk melakukan “control damage” yang lebih agresif terhadap apa yang pernah berlaku dahulu yang dikatakan ia akibat daripada kontrak syarikat rakaman. Sebagai contoh, mungkin Inteam boleh tambahkan lagi nasyid-nasyid yang bertemakan perjuangan, jihad, syahid, dan seumpamanya. Namun mungkin faktor komersial menjadi sedikit halangan kepada perkara ini.
Setahun yang lalu, saya pun pernah memberi sedikit pandangan tentang industri ini di tulisan bertajuk “Mencari Mawi dan Nabil di Akademi Nasyid” di
Antara tulisan tersebut menyebut:
“Di awal kemunculan nasyid kontemporari pada 1996, elemen tradisional nasyid seperti berkopiah, berbaju melayu, menggunakan kompang, lirik ketuhanan dan sebagainya masih dikekalkan.
Apabila kedengaran lagu dimainkan di radio, kita sudah dapat kenal pasti ia adalah lagu nasyid dan dapat membezakan dengan lagu-lagu lain.
Hari ini, ia menjadi berbeza. Tidak semestinya penyanyi nasyid mesti berkopiah dan berbaju melayu. Malah ada penyanyi nasyid yang berambut panjang. Tidak semestinya lagu-lagu nasyid menggunakan kompang. Malah menggunakan gitar dan drum pun ada. Nasyid tidak lagi mempunyai lirik ketuhanan. Malah ada nasyid tentang kematian Puteri Diana!
Hinggakan apabila dimainkan lagu-lagu nasyid sudah tidak dapat dibezakan dengan lagu-lagu arus perdana.
Lagu kategori balada dikenal pasti dengan lirik jiwang dengan nyanyian mendayu-dayu, rock dikenali dengan berambut panjang dangan lagu-lagu keras mereka, rap dikenali dengan lagu-lagu rancak tidak cukup nafas, lagi tradisional Melayu pun dikenali dengan irama dan liriknya.
Tapi, apa pula identiti lagu-lagu nasyid?”
Semoga tulisan ini ada manfaatnya
Assalamualaikum wbt,
Mungkin apa yang saya komen ini berbeza dengan pendapat umum, tapi saya sebenarnya tidak kisah dengan nasyid itu sendiri sama ada bertemakan cinta kepada manusia tetapi pertaliannya tetap pada Allah. Sekiranya cinta liriknya perlu dipantau tetapi janganlah ianya dipinggirkan.
Bagi saya, peminat nasyid ada pelbagai peringkat umur, kedudukan, status. Sekiranya seorang yang berjiwa muda dan belum berkahwin mereka lebih berminat dgn lagu yang bercorak cinta sesama insan. Tetapi dengan adanya lagu nasyid cinta ini sedikit sebanyak memberi guide kepada mereka yang cinta mengikut apa yang digariskan syariat.
Bagi yang sudah berkahwin, minda dan hatinya tidak lagi terikat pada cinta pada manusia dan lebih meminati lagu yang lebih bersifat ketuhanan kerana cintanya pada manusia telah terisi (dengan adanya isteri).
Bagi saya matlamat nasyid perlu dipelbagaikan. Ada nasyid yang lebih keras dan extreme dalam menegakkan daulah Islam (cth Soldiers of Allah) yang lebih sesuai untuk didengari oleh Islam sahaja. Ada nasyid yang berkonsep ketuhanan untuk manusia lebih ingat tuhan. Ada juga nasyid cinta untuk bimbingan dan alternative kepada lagu cinta yang lagho.
Setiap penasyid ada tema dan perjuangan masing dan x salah sekirnya terdapat perbezaan tetapi apa yang penting liriknya tidak mengandungi perkara yang melanggar syariat dan akidah Islam.
Mungkin dengan meminati irama nasyid Cinta manusia akhirnya menjadi cinta kepada nasyid ketuhanan.
Dan Allah juga yang lebih mengetahui. Sekadar pandangan.
Assalamualaikum..
saya cuma ingin menyelit sahaja.. saya selalu membaca artikel2 atau buku2 agama..malah saya juga ada membaca fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa… sepanjang yang saya baca.. yang dilarang bukan bercinta sebelum berkahwin.. tetapi yang dilarang adalah apabila unsur2 percintaan sebelum perkahwinan yang membawa kepada kemaksiatan… kerana itulah saya pernah membaca banyak yang menyebut “couple” itu haram.. bukan cinta insani itu haram..
apa itu “couple”.. “couple” berasal dari bahasa inggeris… bermaksud berpasangan.. “couple” merupakan budaya dari barat yang merujuk kepada berpasangan antara lelaki dan wanita, ataupun sesama lelaki atau sesama wanita.. yang mana dalam budaya barat, “couple” menjurus kepada kemaksiatan.. seperti zina dan hubungan sejenis.. dan ianya jelas dan nyata haram di sisi Islam..
namun dalam konteks cinta insani… saya ingin mengambil contoh sebuah lagu.. pernah menghayati lirik lagu Amani dari AMAR? cuba fahami tiap2 baris lirik lagu tersebut.. adakah menghasilkan lirik lagu seperti itu adalah tidak wajar? adakah ianya mendorong cinta insani yang membawa kepada kemaksiatan? mari kita renung2kan bersama… atau apakah kita pernah menghayati lagu Lafaz Yang Tersimpan oleh UNIC? apakah kita memahami mesej yang cuba disampaikan? sekali dengar seolah2 lagu itu ditujukan kepada kekasih.. tetapi sebenarnya ditujukan kepada ibu atau ayah… tetapi adakah kita bisa memahami mesej yang disampaikan ini?..
saya hormati pendirian abg2 InTeam yang bertekad tidak mahu menyanyikan sebarang lagu yang liriknya bertemakan cinta insani… itu pendirian yang perlu dihormati.. namun, tidak pula bermakna kita tidak boleh menyanyikan lagu2 yang bertemakan cinta.. cuma yang penting, kita perlu pastikan lirik lagu tersebut tidak menyalahi hukum Islam… tidak melanggar batas2 agama..
kita perlu akui.. apabila kita memasuki industi muzik (hiburan) iaitu dalam jalan untuk mengembangkan dakwah islam.. kita perlu bijak menarik perhatian kelompok yang mendengar.. lebih2 lagi kelompok yang bakal membeli album2 nasyid.. bukan bermaksud kita mengikuti citarasa pendengar atau pembeli sesuka hati, tetapi kita bijaksana dalam melakukan sesuatu agar ianya boleh diterima dan masih dalam keadaan memelihara batas2 yang ditetapkan…
satu perkara lagi yang ingin saya sentuh.. kita ada ramai orang yang suka membincangkan isu2 berkaitan nasyid.. tapi adakah mereka ini membeli album2 nasyid? adakah mereka ini menyokong artis2 nasyid? adakah mereka ini tidak pernah mendownload lagu2 nasyid di internet? adakah mereka ini pernah memberi peluang dan ruang kepada artis2 nasyid untuk mengadakan persembahan atau apa2 saja yang mana sekurang2nya membolehkan artis2 nasyid ini boleh mendapatkan sesuap nasi dari usaha yang dihasilkan?
kerana itu, sebagai penggiat nasyid kita perlu kreatif dan berseni.. dan ianya subjektif pada individu dalam berkarya dan dalam menghasilkan sesuatu produk.. mungkin hanya 1 atau 2 lagu yang diselitkan di dalam album yang bertemakan cinta insani.. tetapi sekurang2nya ianya boleh menggalakkan pembelian album.. dan apabila ada yang membeli album, mereka secara tidak langsung akan mendengar keseluruhan lagu yang ada.. dan ketika itu penggiat nasyid perlu kreatif dan berseni dalam memastikan lagu2 lain yang mempunyai mesej yang ketuhanan, keinsafan, perjuangan, penghargaan dan sebagainya dihasilkan dengan lebih berkualiti dan mempunyai sentuhan muzik yang boleh memikat para pendengar..
ingat ya, untuk menghasilkan sebuah album memerlukan sekurang2nya RM20,000.00.. untuk merakam sebuah lagu memerlukan sekurang2nya RM2,000.00.. itu nilai dalam konteks album yang mempunyai kualiti yang pada tahap yang biasa… kos itu boleh menjadi mencecah hingga RM60,000.00 ke RM100,000.00 sekiranya mahu menghasilkan album yang betul2 berkualiti… jadi selaku penggiat nasyid, mereka juga perlukan pemulangan modal.. dan ini kita perlu sedari dan tangani dengan sebaiknya… mungkin abg2 InTeam tidak mempunyai masalah kerana sudah dikenali dan mempunyai syarikat rakaman sendiri serta mempunyai studio sendiri.. sudah tentu masalah kos tidak menjadi isu besar kepada abg InTeam.. tetapi bagaimana pula dengan artis2 baru? bagaimana pula dengan artis2 yang kekurangan modal?…
kpd abg Amin… saya setuju dengan cadangan agar diwujudkan satu badan, persatuan atau apa saja yang berkaitan dengan nasyid.. tetapi biarlah ianya mampu menjalankan fungsi yang sepenuhnya terutama dalam membela nasib artis2 nasyid ataupun syarikat yang menerbitkan album2 nasyid.. bukan sahaja menjaga kualiti lirik yang dihasilkan semata2..
saya rasa itu saja coretan saya setakat ini.. saya ada membuat sedikit posting di dalam blog saya berkenaan nasyid.. boleh kunjungi http://www.tentangaku.com .. posting tersebut ada saya masukkan ke dalam komen tulisan “ada apa dengan nasyid” dalam blog ini…
sekian, wassalam…