Kalau Mencari Budaya Bangsa

Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk ke dua pantai
Kalau mencari bangsa terpuji
Pertama elok ke dua pandai
Pantun ini yang saya ingat ketika kecil dahulu. Difikir-fikir kembali rupa-rupanya mengajarkan satu perkara penting dalam hidup untuk menjadi individu cemerlang, dan seterusnya membentuk sebuah bangsa yang terbilang.
Elok yang ditekankan dahulu dan kemudian baru dilihat pada kepandaian. Elok di sini merujuk kepada eloknya tingkah laku dan punya jati diri. Pandai boleh dirujuk sebagai kemahiran atau skil.
Teringat saya dalam satu buku tulisan Robert T. Kiyosaki, beliau mengatakan untuk berjaya seseorang individu memerlukan yang pertama sikap dan ke dua kemahiran. Mengikut pendapat beliau, individu yang berjaya bergantung kepada 90% sikap dan hanya 10% kemahiran atau skil.
Mentaliti yang dijajah
“Jika saudara ambil subjek Sosiologi, nanti di dalamnya akan belajar apa itu cultural cringe atau saya panggil sebagai penguncupan budaya. Salah satu perkara yang disentuh di dalamnya adalah inferiority complex iaitu perkara yang menyebabkan rakyat dalam satu-satu negara lupa akan budaya dan jati diri sendiri akibat daripada kekaguman kepada budaya luar.”
Perbahasan kami pada malam itu dibauri dengan sedikit emosi. Saya mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya dan dia mempertahankan dasar PPSMI(Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris).
Malam beransur sunyi. Hanya kedengaran bunyi detakan keyboard komputer riba. Perbincangan secara maya itu diteruskan.
“Macam ada kaitan dengan teori colonial mentality sahaja.” Rakan itu menyuarakan teori lain yang sama kaitan.
Colonial mentality bermaksud rasa rendah diri terhadap kemampuan bangsa sendiri dan kagum pada kuasa yang ada pada penjajah. Ada yang kagum sampai meninggalkan sistem pemerintahan negara yang lama, ada yang kagum sehingga menggunakan bahasa penjajah kerana menyangka ia satu bahasa yang berkuasa dan bermacam jenis kekaguman lagi.
Contoh yang boleh dilihat dalam perkara ini adalah pada masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris selepas negaranya dijajah seperti Filipina, negara-negara di benua Afrika, Nigeria, India dan beberapa lagi negara lain. Adakah negara-negara itu semakin maju atau masih berada dalam takat yang sama atau semakin mundur?
Dalam bahasa ada budaya
“Ya, pernah terfikir tidak kenapa ada negara yang terkesan dengan colonial mentality tetapi tidak negara kita? Sedangkan Tanah Melayu juga dijajah satu ketika dahulu. Bahkan bukan satu kuasa sahaja yang menjajah,” ujar saya sambil mengingat-ingat kembali hujah-hujah Dato’ Dr. Hassan Ahmad.
Saya menyambung melihatkan dia diam sahaja, “Itulah yang saya katakan dalam bahasa itu adanya budaya, jati diri dan ilmu. Dan jati diri dalam bahasa itu membentuk kekuatan. Dengan kekuatan itu sehingga ke hari ini identiti bangsa kita dapat dikekalkan. Bahasa Melayu.”
Tamadun bangsa perlu dibangunkan atas acuan dan jati diri sendiri sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh semua sejarah tamadun besar dunia atau tamadun bangsa yang besar seperti tamadun Yunani, Cina, India, Arab, Eropah dan lain-lain. Sama juga halnya dengan tamadun Melayu. Kita bangsa yang kuat kerana kita mengembangkan bahasa kita sebagai bahasa perdagangan, bahasa politik dan bahasa ilmu sehingga dijadikan sebagai lingua franca.
Dalam bahasa itu juga terkandungnya nilai-nilai, norma-norma, proses-proses, pengalaman-pengalaman yang membentuk jati diri sesebuah bangsa. Kita sebenarnya dapat belajar nilai-nilai budaya bangsa sendiri secara tidak langsung hanya dengan bertutur dalam bahasa Melayu. Sama juga Cina dan India di Malaysia, mereka memahami dan menghormati budaya Melayu kerana mereka faham dan bercakap dalam bahasa Melayu.

Apabila kita menggunakan bahasa lain, secara tidak langsung nilai-nilai, norma-norma, proses-proses, pengalaman-pengalaman dalam diri kita akan berubah. Satu kajian ke atas beberapa golongan kelas Menengah yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah didapati nilai budaya dan bangsa itu hilang.
Oleh itu sehingga kini belum ada tamadun bangsa di dunia yang dibangunkan dengan bahasa yang berlainan daripada bangsa bertamadun tersebut.
Dasar pendidikan global, bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
“Mungkin ada kebenaran tentang persoalan jati diri dan juga inferiority complex bila kita utamakan bahasa Inggeris. Tetapi ini tidak dapat menolak hakikat kepentingan bahasa Inggeris dalam keadaan dunia sekarang,” soalnya. Mungkin keliru dengan perjuangan menentang dasar PPSMI.
“Pertama sekali yang harus kita teliti betul-betul(bukan dengar berita di televisyen sahaja), orang yang menentang PPSMI tidak pun mengatakan belajar bahasa asing atau bahasa Inggeris itu tidak penting. Kedua. malah yang menolak PPSMI juga merupakan mereka yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris seperti Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara dan penulis puisi Inggeris/Melayu), Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Prof . Shahrir (ahli matematik), Tan Sri Prof Ismail Hussein (Ketua 1 Gapena), Prof. Emeritus Bakar Hamid, dan malah Prof. Di Raja Ungku Aziz.”
Yang diperjuangkan mereka adalah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan terus dipupuk sebagai bahasa moden. Yang mereka benci bukan bahasa Inggeris tetapi ialah penjajahan bahasa Inggeris pada generasi muda di negara ini.”
UNESCO (1951:691) telah meluluskan resolusi pendidikan yang berbunyi:
On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.
Terjemahan: Dalam bidang pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah.
-Sumber: Blog Ainon Mohd
Idiosinkrasi
“Kenapa sehingga ke hari ini setelah 50 tahun lebih kita merdeka, negara kita masih lagi tidak maju seperti Jepun, Perancis dan lain-lain walaupun menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan?”
“Kalau begitu silapnya bukan pada bahasa tetapi pada yang memerintah.”
Dan kadang-kadang saya pelik bagaimana Tun Dr Mahathir boleh membuat dasar ini tanpa sebarang perbincangan dan tergesa-gesa. Bagaimana beliau berfikir dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh menjadikan seseorang itu boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. Mungkin inilah idiosinkrasi beliau.
“Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang menguncupkan bahasa ini.” – A. Samad Said –
*Gambar pertama disalin daripada daylife.com
*Sumber tulisan daripada:
1) Blog Ainon Mohd
2) Buku Mengapa Kami Bantah
Bukan salah bahasa…mentaliti penutur bahasa yang perlu diubah..
bahasa melayu bisnes tak sama dengan bahasa melayu makan gaji…
sebab itu bahasa melayu yang diajar berbeza mengikut kuliah..
Adeh. Terkena. Kalau yang buat dua-dua sekali mungkin bahasanya jadi bahasa Melayu golongan pertengahan.
kadang2 bahasa boleh mempengaruhi seseorang. Kadang2 juga bahasa inggeris boleh membuat seseorang itu ingin hidup dengan budaya seperti mat saleh!
what can i say..
just relax n cool
tak faham,pening…..
Yup. Cuma difikir-fikirkan kembali kata-kata Prof Abdullah Hassan yang mengatakan dalam bahasa itu wujudnya nilai-nilai, pemikiran-pemikiran dan norma-norma.
Bolehkah kita katakan kalau orang itu bertutur dalam bahasa Melayu Pasar, maka mentalitinya tidak sama dengan yang bertutur bahasa Melayu Politik. Atau orang yang bertutur dalam bahasa Melayu Perdagangan, mentalitinya tidak sama dengan yang bertutur bahasa Melayu Medik.
Dan bahasa setiap orang itu dipengaruhi oleh suasana keadaan sekelilingnya. Oleh kerana itu boleh dikatakan bahasa juga membentuk mentaliti.