Archive for May, 2007

  • Untaian kata 1

    2

    Apabila seorang pahlawan itu mengaku kalah, yang pasti pada waktu itu adalah dia sudah kalah. Tetapi jika dia masih mencuba, kekalahan itu belum pasti dan peluang untuk menang sudah terbuka untuknya.

  • Pengusaha Cendawan Berjaya

    17

    Hari ini saya ingin berkongsi kisah tentang seorang pengusaha cendawan yang berjaya. Saya sempat berjumpa dengan pengusahanya, Encik R. Azmi, pada hari ini sempena lawatan komuniti BicaraJutawan ke tempatnya di Seelong, Kempas. Kisah hidupnya begini.

    Encik R. Azmi dilahirkan pada tahun 1965 dan kelulusan akademiknya hanyalah sampai SPM sahaja. Tamat sahaja persekolahan, beliau terus bekerja makan gaji selama dua tahun setengah. Disebabkan berasa duit gajinya tidak mencukupi untuk menanggung masa depannya, dia mengambil keputusan untuk mengikuti satu kursus perusahaan cendawan yang harga kursus itu adalah RM1200! Bayangkan pada waktu itu, makanan yang bercendawan masih tidak popular di Malaysia dan beliau sanggup mengambil risiko itu untuk mengikuti kursus itu. Yuran kursus itu dibayar oleh beliau dengan duit hasil simpanannya.

    Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan cita-citanya untuk mengusahakan perusahaan cendawan. Keputusannya itu ditentang oleh kedua ibu bapa beliau. Tetapi Encik Azmi tetap dengan pendiriannya dan mula merantau ke Johor Bahru seorang diri dalam usia yang masih muda itu. Memang kehidupan beliau pada waktu itu sangat susah. Tiada bantuan daripada keluarga sendiri. Tetapi beliau mula menggunakan ilmu yang beliau pelajarinya semasa kursus.

    Walaupun hasil cendawannya sangat sedikit kerana beliau tidak mampu untuk mengusahakannya secara besar-besaran pada waktu itu, beliau menjaja cendawan hasil tanamannya di pasar-pasar. Kadang-kadang ada suara mengejeknya, “Mana ada orang makan cendawan sekarang, tu makanan kampung je.”

    Beliau menebalkan muka. Tidak menghiraukan apa yang dikatakan orang sekelilingnya. Pernah satu ketika beliau pergi ke UPM untuk meminta bantuan daripada seorang professor di situ tetapi permintaan beliau langsung tidak dihiraukan. Dengan perasaan hiba beliau yang pada waktu itu tidak mempunyai wang pergi ke UKM untuk meminta bantuan di situ pula. Beliau ke UKM dari UPM dengan hanya berjalan kaki sahaja.

    Pernah juga Encik Azmi cuba meminta bantuan daripada Bank Pertanian, tetapi permintaannya ditolak mentah-mentah oleh Bank Pertanian kerana pada ketika itu pasaran cendawan masih tidak nampak lagi keperluannya. Beliau tidak berputus asa sehinggalah akhirnya beliau berjaya juga mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak kementerian.

    Selagi bertambahnya bilangan penduduk, selagi itulah meningkatnya keperluan pertanian.

    -Encik R. Azmi-

     

    Akhirnya sekarang beliau telah menjadi contoh kepada pengusaha cendawan yang baru mula ingin berjinak-jinak. Dan selalu menerima undangan daripada agensi-agensi dari Singapura untuk melawat tempat perusahaan cendawannya. Hinggakan UPM sendiri menghantar pelajarnya datang berkursus dengan beliau. Bagi beliau kalau ingin berjaya hendaklah tidak putus asa dan sentiasa saling membantu satu sama lain.

    Kalau sudah ada cita-cita, kejarlah ia.
    -Encik R. Azmi-

     

  • Memiliki Misi Besar

    0

    Aku tidak takut apa yang musuh-musuhku ingin lakukan terhadap diriku. Jika mereka memenjarakan aku, itu adalah waktu untuk aku bersama Tuhanku. Jika mereka mengasingkan aku ke suatu tempat yang jauh, itu adalah waktu untuk mengembara. Jika mereka membunuhku, itu yang aku perlukan untuk mati syahid.

    -Ibnu Taimiyah-

    Peribadi manusia yang bermotivasi mesti mempunyai misi besar dalam hidupnya. Dari misi besar itulah, anda akan mencipta sesuatu yang besar dan melakukan perkara-perkara hebat.

    Kalau aku hidup, aku tak takut kehilangan makanan. Kalau aku mati, aku tidak takut kehilangan kuburku. Kerana aku berjiwa besar yang melihat kelemahan itu sebagai kekufuran

    –Imam Syafie-

     

    Begitulah kata-kata tokoh-tokoh besar. Mereka memiliki misi besar. Pandangan yang hebat. Persepsi yang benar. Idea-idea yang segar. Memiliki visi dan misi yang jelas adalah satu keperluan agar langkah-langkahnya teratur. Agar kebaikan terus subur. Menjadikan kehidupan lebih teratur.

     

    Visi adalah mimpi anda akan hari depan yang dicita-citakan. Misi adalah matlamat anda untuk mencapai yang dicitakan. Mulakan menulis visi dan misi sendiri. Mereka ada visi dan misi dalam hidup. Anda bila lagi? Jika tiada, sekarang mulakannya!

     

  • The Pursuit Of Happyness

    3

    Baru semalam saya sempat menonton filem ini. Tapi rasanya tidak rugi walau lambat menontonnya kerana ada banyak perkara yang dapat saya belajar daripada filem ini.

    Manusia mempunyai pilihan untuk maju ke hadapan, kekal di takuk lama dan mundur ke belakang. Cuma ramai yang memilih untuk kekal di takuk lama kerana takut mengambil risiko untuk maju ke hadapan. Ya, memang anda akan katakan, “Semestinya saya ingin terus maju ke hadapan.” Tetapi adakah anda boleh membuktikannya?

    Filem ini memberikan gambaran jelas tentang mengambil risiko untuk terus maju ke hadapan. Ia mengisahkan tentang Chris Gardner seorang yang telah membuat kesilapan besar apabila dia telah memborong satu alat ‘bone density scanner’ untuk dijual kepada doktor atau hospital yang memerlukan alat tersebut. Tetapi kesilapannya, alat itu tidak mempunyai permintaan di samping harganya yang terlalu tinggi.

    Kemudian dia menghadapi banyak masalah apabila isterinya pergi meninggalkannya. Hinggakan ada waktu dia sampai terpaksa tidur di dalam tandas bersama anak lelakinya yang baru berusia 5 tahun. Tetapi Chris Gardner memang seorang yang tidak putus asa. “Apabila anda sudah nampak impian anda, teruslah mengejarnya.”

    Banyak perkara yang boleh dipelajarinya daripada filem ini.

    1) Apabila anda nampak satu peluang untuk anda maju ke hadapan, Dapatkannya sampai boleh.

    Dalam satu babak awal filem itu, ada sebuah kereta sport berhenti di hadapan Chris Gardner, lalu dia tanpa rasa malu bertanya kepada lelaki yang menaiki kereta tersebut, “Man I got two question for you:

    a) What do you do?

    b) And how do you do it?

    Apabila Chris Gardner mendapat sahaja jawapan yang ringkas daripada lelaki tersebut yang merupakan seorang broker saham, terus dia memasang impian untuk menjadi seorang broker saham juga.

    2) Cari pasangan hidup yang betul-betul faham impian anda dan memang betul-betul sanggup menghadapi kesusahan bersama anda.

    Dalam filem ini, sampai satu tahap yang mereka sekeluarga menghadapi masalah kewangan yang teruk, kemudian Chris Gardner ini pula dalam masa itu boleh berkata kepada isterinya yang dia ingin jadi seorang broker saham. Lalu isterinya mengambil keputusan untuk meninggalkannya kerana memikirkan yang Chris Gardner betul-betul tidak bertanggungjawab. Sudahlah miskin, ada cita-cita hendak jadi broker saham.

    3) Apabila anda mempunyai impian, jangan biarkan orang lain katakan anda tidak akan mencapainya.

    Itulah yang dia alami apabila isterinya menidakkan impian dia untuk mejadi broker saham. Dalam satu babak dalam filem ini, dia telah berkata kepada anak kecilnya,

    Hey… Don’t ever let somebody tell you that you can’t do something. Not even me. You got a dream you’ve got to protect it. People can’t do something themselves they wanna tell you that you can’t do it. If you want something, go get it. Period!”

    4) Kalau anda rasa andalah orang yang paling susah, fikirkan masih ramai lagi yang lagi susah daripada anda.

    Chris Gardner ini sebenarnya memang terlalu susah hidupnya, hutang keliling pinggang. Sebab itu isterinya tidak sanggup tinggal dengannya. Tetapi dia tetap ingin menjaga anak kecilnya itu walaupun isterinya telah berkali-kali meminta hak penjagaan anak tersebut daripadanya. Dia tidak mengendahkan soal dia tidak mampu menyara anak tersebut. Apa yang dia tahu ada keluarga lain yang lebih susah daripada dia.

    [youtube=http://www.youtube.com/watch?v=_xcZTtlGweQ]

    Kalau anda masih belum terpaksa tidur di dalam tandas, pastinya hidup anda patut lagi baik daripada Chris Gardner sekiranya kita terus ingin maju ke hadapan. Dan sekarang Chris Gardner telah memiliki syarikat broker sahamnya yang sendiri, Gardner Rich & Co. Terlalu banyak lagi perkara yang boleh dipelajari daripada filem ini. Pastikan anda tidak terlepas peluang menontonnya.

  • Kisah Jack Canfield

    0

    Chicken soupPernah dengar nama Jack Canfield? Mungkin ramai yang pernah membaca buku ’Chicken Soup for The Soul’. Itulah buku pertama yang ditulis oleh Jack Canfield. Kisahnya sungguh indah dan boleh dijadikan contoh.

    Jack Canfield ini gaji tahunannya sangatlah rendah iaitu hanya $8,000 setahun. Jadi, pada suatu hari dia telah bertanya kepada diri dia, “Bagaimana aku boleh dapatkan gaji $100,000 setahun?”

    Pada ketika itu dia masih belum mempunyai apa-apa idea untuk mendapatkan $100,000. tapi, dia katakan pada diri dia, “Aku mesti buktikan aku boleh dapat duit sebanyak tu. Dan aku akan berlakon seolah-olah saya telah ada $100,000.” Itulah langkah pertama yang diajar perlu dicontohi, bayangkan dan rasakan seolah-olah anda telah pun ada apa yang anda inginkan. “You must feel it to attract it”

    Selepas empat minggu dia jadi macam orang gila asyik sebut-sebut ‘$100,000’. Huhu. Akhirnya idea itu timbul, “Kalaulah aku boleh jual 400,000 buku aku, aku boleh dapat $100,000.” Kemudian dia pun tulislah buku Chicken Soup for Soul. Tapi masa itu buku tu tak meletup lagi. Dia kemudian berangan lagi, “Kalaulah buku aku ini ditulis resensinya dalam majalah National Enquiri, pasti akan ada 400,000 orang yang tahu tentang buku aku dan barulah ramai yang beli”. Sambil berangan dia membayangkan yang resensi bukunya betul-betul sudah ditulis di dalam majalah tersebut.

    Kemudian timbul pula idea untuk memberi ceramah-ceramah ke majlis-majlis. Sehinggakan salah seorang yang hadir dalam ceramah dia adalah seorang penulis artikel untuk sebuah majalah National Enquiri itu. Begitulah yang berlaku dan akhirnya resensi bukunya telah ditulis di dalam majalah National Enquiri itu. Akhirnya memang dia berjaya mendapatkan cek pertamanya yang berjumlah $100,000. Apa yang diperlukan hanyalah angan-angan dan dengan angan-angan itulah ia akan membawa apa-apa yang diperlukan untuk mencapainya.

    Kemudian banyak lagi buku-buku sup ayam yang ditulis olehnya. Nak tahu rahsia sebenar buku itu? Sebenarnya dia bukanlah menulis 100% buku tersebut. Tetapi dia mengumpulkan koleksi cerita-cerita yang boleh dijadikan teladan. Anda bagaimana? Mula pasangkan angan-angan sekarang!

  • Jika Inginkan Sesuatu, Mintalah….

    1

    AladdinEntri awal ini, saya ingin berkongsi satu kisah. Tentu anda pernah menonton cerita Aladdin. Mesti masih ingat waktu Aladdin menemui teko ajaib itu. Apabila Aladdin gosok teko itu dengan lengan bajunya. Poof! Keluarlah satu jin yang besar. Lalu jin itu memberikan Aladdin 3 hajat yang akan ditunaikannya dan berkata, “Your wish is my command.”

    Samalah seperti kita yang punya agama dan punya Tuhan untuk disembah. Malah Allah telah membuka peluang besar kepada kita, bukan hanya 3 hajat tetapi seberapa banyak hajat yang kita mahukan. Mintalah pada Allah. Nescaya Allah akan bantu.

    Setelah dirujuk tentang kesan psikologi apabila kita meminta sesuatu, ia akan menjana minda kita ini ke arah matlamat yang ingin kita capai. Contohnya, kita minta hendak 5A dalam UPSR. Kalau kita meminta secara bersungguh-sungguh, maka minda kita secara tidak langsung akan diset ke arah 5A. Inilah rahsia kejayaan yang ramai orang tidak sedar. Kadang-kadang kita pernah buat tetapi tidak sedar akan keberkesanannya. Lantas tidak pula kita menggunakan cara ini dalam semua perkara yang kita inginkan. Padahal inilah cara orang-orang berjaya!

    P/s: Ingat, ‘Your wish is my command”. Mintalah pada Pencipta alam ini. Mintalah apa sahaja.